SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyarankan agar Bajet 2022 yang dibentangkan hari ini dapat memberi tumpuan dalam mengharungi fasa endemik Covid-19.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia harus menjadi tumpuan utama kerajaan selain memastikan proses pemulihan ekonomi tidak terganggu.
Jelasnya, dari aspek kesihatan, kapasiti hospital dan keperluan terhadap vaksin tambahan perlu sentiasa diberikan perhatian melalui peruntukan bersesuaian.
"Situasi Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya. Oleh itu, kesiapsiagaan terhadap sektor kesihatan akan dapat memberi keyakinan bahawa proses pemulihan ekonomi berlangsung dalam suasana yang harmoni.
"Selain itu, pendekatan belanjawan juga harus mengekalkan fokus kepada golongan yang masih terkesan dan rakyat Malaysia umumnya,” katanya kepada Sinar Harian. Jelas beliau, langkah-langkah seperti bayaran pindahan, geran perniagaan, skim pembiayaan mikro dan program latihan serta pemadanan pekerjaan juga akan diteruskan dalam Bajet 2022.
"Berikutan harga minyak mentah dunia yang kian meningkat, subsidi minyak juga akan dikekalkan bagi memastikan kos sara hidup terus terkawal,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, tambah Afzanizam, defisit fiskal dijangka kekal lebar namun sedikit menguncup dengan jangkaan mencecah 6 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.5 peratus pada 2021.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2022 mempunyai faktor ‘Wow’ kerana ia dirangka untuk memberi manfaat kepada semua pihak sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara setelah mengalami kesukaran hidup akibat Covid-19.
Ismail Sabri berkata, Bajet 2022 adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ dan berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 dan M40 serta sokongan perniagaan bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan.
Insentif B40, M40
Pakar Ekonomi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan pula mencadangkan kerajaan menambah baik insentif dalam Bajet 2022 kepada golongan isi rumah B40 dan M40 serta PMKS.
Jelas beliau, ia perlu dilakukan memandangkan mereka merupakan golongan yang paling terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Menurutnya, bagi Bajet 2022, kerajaan juga wajar memberi fokus kepada golongan M40 terutama yang berada di paras bawah kerana mereka kurang mendapat insentif dan bantuan daripada kerajaan.
"M40 adalah kumpulan yang paling terkesan terutama yang bekerja sendiri dan berada di bandar besar. Kumpulan ini dari segi bantuan memang agak minimum.
"Bagi PMKS pula, perlu ada insentif disebabkan sektor ini menyediakan peluang pekerjaan yang paling tinggi iaitu 60 hingga 70 peratus.
"Kalau insentif yang sama macam tahun lepas, saya tidak nampak akan ada satu pemulihan yang cepat dalam sektor ini.
"Kumpulan ini memang kena dibantu. Kerajaan bantu mereka dari segi dua bentuk iaitu kewangan dan latihan. Tingkatkan lagi latihan terutama kepada mereka yang berumur 45 tahun ke atas.
"Mereka ini tidak berminat untuk hadir latihan. Ini cabaran besar. Sekarang ini keperluan tinggi kepada teknologi untuk kita buat perniagaan. Mereka kena ada dan guna pendekatan teknologi untuk meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya.
Selain itu, beliau menganggarkan pertambahan sebanyak RM30 bilion dilakukan pada Bajet 2022 menjadikan peningkatan sehingga 10 peratus daripada Bajet 2021.
Jelasnya, ini adalah bagi memberi tumpuan kepada pemulihan negara daripada kemelesetan ekonomi.
"Bajet 2022 ini saya jangka paling banyak insentif untuk pemulihan akan tertumpu. Apa saya lihat, apabila PKP dilonggarkan, Bajet 2022 ini akan jadi lebih baik daripada 2021 kerana ekonomi mula pulih.
"Cuma saya mengharapkan apabila ada peningkatan kepada peruntukan ini, akan ada peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan sebab ini akan membantu memulihkan ekonomi dengan lebih cepat,” ujarnya.
Ahmad Azrin turut mengharapkan kerajaan tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu pada Bajet 2022 bagi memastikan pemulihan negara dapat berlaku dalam masa yang lebih singkat.
Klik di sini untuk terus membaca