SHAH ALAM - Beberapa pemimpin tertinggi UMNO membayangkan rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan Pas atas semangat persefahaman Muafakat Nasional (MN) mungkin melibatkan lapan hingga 10 kerusi Dewan Undangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin tertinggi UMNO membayangkan rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan Pas atas semangat persefahaman Muafakat Nasional (MN) mungkin melibatkan lapan hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, dalam mesyuarat badan pembuat keputusan tertinggi parti itu pada Khamis, barisan MKT memuktamadkan keputusan tidak mahu berlaku sebarang pertembungan tiga penjuru dengan mana-mana parti lain kecuali Pakatan Harapan (PH).

Armand Azha

Jelas beliau, atas faktor itu, MKT UMNO memberi mandat kepada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang dengan Pas atau mana-mana pihak lain bagi memastikan persefahaman itu tercapai pada PRN Melaka, 20 November ini.

"Namun, apa yang diutamakan adalah semua kerusi dimenangi UMNO pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah hak mutlak UMNO yang tidak boleh diserahkan kepada parti-parti lain.

"Dengan jumlah DUN majoriti pengundi Melayu pada PRN Melaka dianggarkan 23 kerusi, 13 kerusi dimenangi UMNO perlu kekal ditandingi UMNO, manakala dua kerusi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mungkin kekal ditandingi mereka.

"Jadi proses perbincangan dengan Pas adalah membabitkan lapan kerusi DUN majoriti pengundi Melayu yang tidak dimenangi oleh sesiapa. Kerusi-kerusi ini akan kita bincangkan agar tiada pertembungan lebih dua penjuru.

"MKT juga bersetuju menyerahkan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri untuk mencapai kata putus dengan kepimpinan Pas bagi tujuan itu," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menegaskan MKT bersedia untuk meneruskan persefahaman dengan Pas di bawah semangat MN bagi menghadapi PRN Melaka pada bulan hadapan.

Bagaimanapun, Ahmad turut menjelaskan, MKT UMNO meletakkan syarat asas persefahaman parti itu dengan Pas haruslah berpandukan prinsip Pas menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat 19 Oktober dan 18 November 2020.

Selasa lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Bersatu, Pas dan Gerakan akan bertanding pada PRN Melaka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berpandangan keputusan penggunaan lambang parti dalam pilihan raya sepatutnya ditentukan sendiri oleh parti-parti dalam koalisi PN kerana perkara itu berkaitan dengan dasar parti.

Mengulas lanjut, Armand Azha yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan sebarang persefahaman politik yang tercapai di antara UMNO dan Pas pada PRN Melaka bukanlah bermakna kedua-dua parti berkenaan menjalinkan kerjasama rasmi.

MKT UMNO bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi permuafakatan MN bagi menghadapi PRN Melaka dengan syarat Pas menggunakan lambang pilihan raya parti sendiri.

"Cuma persefahaman ini penting bagi membolehkan fokus kedua-dua parti mengelak berlaku pertembungan lebih dua penjuru akan tercapai.

"Begitu juga dengan gerak kerja pilihan raya apabila masing-masing akan bergerak secara sendiri dan bukan atas satu koalisi rasmi," katanya.

Pada PRU14, UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan negeri Melaka apabila hanya memenangi 13 kerusi DUN, manakala Bersatu yang bersama dengan PH ketika itu memenangi dua kerusi.

Pas yang bertanding pada 24 daripada 28 kerusi DUN, gagal memenangi sebarang kerusi pilihan raya.

UMNO AKAN AMBIL 4 KERUSI LAGI

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin pula membayangkan proses rundingan kerusi pilihan raya dengan Pas mungkin membabitkan sekurang-kurangnya 10 kerusi daripada keseluruhan 23 kerusi majoriti pengundi Melayu.

Jelas beliau, meskipun proses rundingan belum bermula, beliau percaya 13 kerusi DUN yang dimenangi UMNO pada PRU14, pastinya akan direstui Pas untuk ditandingi semula UMNO.

Mohd Sharkar

"Bila kerusi UMNO menang kekal milik UMNO, tumpuan kini terarah kepada 10 kerusi DUN untuk dibincangkan antara UMNO dan Pas.

"Daripada 10 kerusi DUN majoriti Melayu berkenaan, mungkin kita akan ambil lagi empat atau lima kerusi, selebihnya kita serah kepada Pas untuk mereka putuskan sama ada mahu bertanding sendiri atau agih kepada Bersatu," katanya.

Mohd Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang turut melihat isu kerjasama UMNO dan Pas melalui persefahaman MN bukan satu perkara penting untuk diperdebatkan dalam menghadapi PRN Melaka.

Sebaliknya, beliau berpandangan perkara paling penting adalah kedua-dua parti mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru dengan soal UMNO hendak melawan Bersatu biarlah terserah kepada parti itu.

"Tiada kekeliruan dalam soal pertembungan UMNO-Bersatu kerana itu hak UMNO. Begitu juga sama ada Bersatu mahu langgar UMNO pada PRN Melaka atau tidak.

"Bagi saya, semua proses ini mematangkan amalan demokrasi, jadi tiada isu sebenarnya," katanya.

Ditanya status agihan lebihan lima kerusi DUN majoriti bukan Melayu pada PRN Melaka, Mohd Sharkar menegaskan, kerusi itu perlu ditandingi oleh parti-parti bukan Melayu seperti MIC, MCA dan Gerakan.

Jelas beliau, parti-parti ini tidak boleh menuntut untuk bertanding pada mana-mana kerusi DUN majoriti pengundi Melayu kerana ia perlu diserahkan kepada parti-parti Melayu.

"Untuk lima kerusi DUN ini, parti-parti ini kena adakan juga perbincangan sesama mereka bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca