SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad mengesahkan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki antara pemimpin yang tersenarai untuk layak bertanding... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad mengesahkan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki antara pemimpin yang tersenarai untuk layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden parti itu untuk sesi 2021-2023.

Bagaimanapun, Kamaruzaman menegaskan senarai akhir pencalonan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat hanya akan diputuskan selepas 30 Oktober ini susulan kesemua pemimpin yang layak perlu menjawab surat pengesahan pencalonan.

Jelas beliau, Muhammad Sanusi dan Dr Mohd Zuhdi layak bertanding jawatan Naib Presiden Pas, sekali gus mencabar kedudukan tiga penyandangnya susulan kedua-dua pemimpin itu memenuhi syarat kuota pencalonan daripada Pas kawasan.

"Berdasarkan senarai dikeluarkan oleh akhbar Harakahdaily, kesemua nama pemimpin yang layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden dan AJK Pas Pusat diumumkan susulan mereka memenuhi syarat minimum kuota pencalonan ditetapkan.

"Namun, persoalan sama ada kesemua mereka akan mengesahkan bertanding hanya akan terjawab apabila senarai kedua pencalonan akan diumumkan selepas 30 Oktober ini.

"Justeru, lebih baik kita tunggu senarai kedua pencalonan sama ada kesemua pemimpin yang tersenarai layak bertanding akan mengesahkan pencalonan bagi jawatan ditandingi atau tidak," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan Pas ke-67 yang akan diadakan pada 6 dan 7 November ini di Kuala Terengganu secara hibrid.

MUHAMMAD SANUSI


TUMPUAN JAWATAN NAIB PRESIDEN

DR MOHD ZUHDI


Sinar Premium difahamkan pemilihan Pas kali ini menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu yang disandang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun, tumpuan kini terarah kepada pertandingan bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden Pas yang kini disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Senator Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ketika ini Muhammad Sanusi turut dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, manakala Dr Mohd Zuhdi menjadi Setiausaha Politik kepada Tuan Ibrahim yang juga Menteri Air dan Alam Sekitar.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat bagi sesi 2021/2023 mengesahkan jumlah borang pencalonan diterima daripada Pas kawasan adalah sebanyak 159 daripada 197 Pas kawasan dengan satu borang ditolak, manakala jumlah pencalonan sah dan diterima adalah sebanyak 158 borang.

Pada pemilihan lalu, Mohd Amar, Idris dan Ahmad Samsuri menjadi naib presiden parti selepas salah seorang penyandang jawatan itu, Datuk Ir Iskandar Abdul Samad tidak menjawab surat pengesahan pencalonannya bagi sesi 2019 hingga 2021.

Dalam perkembangan lain, Kamaruzaman turut mengesahkan sejumlah 43 pemimpin Pas layak bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Antara nama besar yang membarisi senarai pencalonan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat adalah Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pemuda Pas Pusat, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin; Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; dan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengungguli senarai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi sesi 2019-2021.

Klik di sini untuk terus membaca