SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajib mengarahkan setiap kementerian dan jabatan yang tidak patuh kepada pengurusan kewangan sehingga menyebabkan negara kerugian RM620 juta supaya menyiapkan segera laporan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajib mengarahkan setiap kementerian dan jabatan yang tidak patuh kepada pengurusan kewangan sehingga menyebabkan negara kerugian RM620 juta supaya menyiapkan segera laporan inkuiri punca ketirisan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Ismail Sabri tidak boleh melengah-lengahkan aspek siasatan dalaman terhadap perkara didedahkan melalui Laporan Audit Negara pada Khamis kerana nilai dana rakyat yang terlibat dalam pembaziran dan aktiviti ketirisan berkenaan adalah antara tertinggi dalam sejarah.

Jelas beliau lagi, setiap kementerian atau jabatan yang terlibat perlu membuat kajian serta-merta, menyediakan laporan lengkap mengenai asal-usul permasalahan projek yang membawa kepada ketirisan serta menyediakan tatacara yang lebih ketat bagi mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan.

"Saban tahun, rakyat negara ini disajikan dengan laporan ketirisan dan pembaziran wang rakyat dikemukakan Ketua Audit Negara yang nilainya mencecah ratusan juta, namun sehingga kini tiada satu tindakan serius diambil.

"Justeru, Ismail Sabri perlu membuktikan kerajaan pimpinan beliau benar-benar peka terhadap aspek ketelusan menguruskan dana rakyat dengan cara memastikan punca sebenar ketirisan sehingga mencecah RM620 juta pada tahun 2020, disiasat secara terperinci dan transparen.

"Siasatan juga perlu disiapkan dalam tempoh 30 hari daripada sekarang agar tatacara lebih ketat diperkenalkan kementerian terlibat untuk proses penambahbaikan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih siasatan sekiranya sebarang salah laku atau elemen jenayah dikenal pasti," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

MOHAMED HANIFF


KRISIS COVID-19 JADI FAKTOR KETIRISAN DI MKN PALING BESAR?

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang mendedahkan ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

Menerusi Laporan Audit Negara tahun 2020, Nik Azman turut mengenal pasti daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta membabitkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, daripada RM104.79 juta kerugian wang awam, RM81.69 juta adalah penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen manakala pembaziran RM4.79 juta membabitkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, beliau menyedari faktor krisis Covid-19 pada tahun 2020 mungkin turut menyumbang kepada kesukaran pihak kerajaan untuk mematuhi keseluruhan aspek pengurusan kewangan kerana terdapat perkara mendesak yang memerlukan perbelanjaan kecemasan diluluskan segera.

Bagaimanapun, beliau berpandangan krisis Covid-19 bukan alasan untuk kerajaan sekarang tidak dapat memberikan penjelasan di atas masalah ketirisan yang berlaku kerana nilai pembaziran lebih RM600 juta adalah sesuatu perbuatan yang tidak dapat diterima rakyat negara ini.

"Ditambah dengan legasi pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020 diteruskan oleh kerajaan Ismail Sabri pada hari ini, Perdana Menteri sekarang perlu bertanggungjawab untuk memberi penjelasan segera kepada rakyat.

"Kena ingat, nilai ketirisan yang didedahkan seolah-olah menyebabkan setiap seorang daripada keseluruhan 32.7 juta rakyat Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM20 seorang di atas kecuaian urus tadbir kementerian pada tahun lalu dan ia hanya bersandarkan laporan terhadap pengurusan kewangan berhubungan kontrak-kontrak kerajaan semata-mata," katanya.

TZE TZIN


AMALAN KONTRAK RUNDINGAN TERUS

Dalam pada itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin tidak menolak kemungkinan berlakunya amalan pemberian kontrak secara rundingan terus yang berleluasa sewaktu kerajaan PN memerintah pada tahun lalu menyebabkan isu ketirisan besar sebegini berlaku.

Jelas beliau, berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lebih menitikberatkan pemberian projek kerajaan secara tender terbuka, PN juga seolah-olah menggunakan alasan krisis Covid-19 untuk menghalalkan sebarang pemberian kontrak secara rundingan terus.

"Justeru, saya menggesa SPRM melihat elemen jenayah dalam isu ketirisan wang rakyat yang dikemukakan dalam Laporan Audit Negara semalam.

"PH tidak menafikan krisis Covid-19 menyebabkan keperluan kerajaan meluluskan segera dana kecemasan tanpa melalui proses semak dan imbang di Parlimen, tetapi alasan itu tidak wajar digunakan kementerian dan kerajaan Pusat untuk mengelak tanggungjawab.

"Bayangkan dengan nilai RM620 juta dibazirkan, kerajaan Pusat mampu membina 15,000 rumah kos rendah untuk rakyat memerlukan.

"Setiap menteri yang terlibat perlu bertanggungjawab di atas ketirisan berlaku dan mereka kena arahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk mengemukakan segera satu laporan komprehensif bagi menjawab kegagalan urus tadbir yang berlaku," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca