SHAH ALAM - Lima bulan tidak dapat 'terbang' akibat pandemik Covid-19 menjadi satu pengalaman pahit buat Kapten Yasir Shamsudin yang sudah 14 tahun bergelar juruterbang AirAsia.
Menurut pemuda berasal dari Petaling Jaya itu, walaupun berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan seketika tugas di awan biru, namun kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk bersama isteri dan empat anak.
"Penerbangan terakhir saya adalah selepas Hari Raya Aidilfitri tempoh hari kemudian lima bulan saya hanya duduk di rumah.
"Sepanjang tempoh tersebut, selain menjadi 'stay at home dad' saya juga banyak belajar menguruskan kerja rumah. Barulah saya tahu betapa penatnya menjadi suri rumah," ujar bapa berusia 35 tahun itu.
Ditanya sama ada sepanjang tidak dapat 'terbang' selama lima bulan itu memberi kesan terhadap situasi kewangan keluarga, Yasir bersyukur kerana tidak begitu terkesan disebabkan telah mempunyai perancangan kewangan.
"Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut kami masih dapat bertahan. Saya kira, penting untuk semua orang tidak kira dalam kerjaya apa pun untuk mempunyai perancangan kewangan dan juga simpanan kerana ia boleh membantu ketika waktu kecemasan," katanya lagi.
Usai lima bulan tersebut, Yasir kini dapat bertugas semula dan beliau mengakui amat teruja untuk kembali mengemudi pesawat dan membawa penumpang tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.
"Rasa gian sepertinya orang yang sudah lama tidak memandu kereta, begitulah kiranya perasaan saya sekarang.
”Tambahan pula AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama satu tahun setengah untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangan demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya.
"AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya, dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya," kata Yasir yang juga gembira dapat bertemu kembali rakan-rakan seperjuangan.
Menyentuh tentang harapan untuk masa depan sektor penerbangan negara selepas lebih banyak kelonggaran diumumkan kerajaan termasuk pembukaan lebih banyak sektor pelancongan domestik, Yasir melihat peluang positif untuk sektor penerbangan kembali rancak seperti sediakala dalam norma baharu dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP).
"Diharapkan dengan pembukaan lebih banyak destinasi percutian dan ketibaan musim cuti sekolah tidak lama lagi, lebih banyak laluan dan kekerapan penerbangan akan ditambah.
"Saya juga berharap selepas ini lebih banyak laluan penerbangan antarabangsa dapat kembali dibuka sekiranya keadaan mengizinkan," kata Yasir.
Klik di sini untuk terus membaca