PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) hari ini menjelaskan telah memuktamadkan pembahagian kerusi sesama parti komponen bagi Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka di mana menyaksikan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dipinggirkan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan yang dilakukan bukan sahaja memutakmadkan agihan kerusi bagi PRN Melaka bahkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, bagi PRN Melaka, jumlah yang akan ditandingi DAP kekal lapan kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 11 kerusi.
"Kita juga bincang untuk jangka panjang kerana kita telah putuskan pembahagian kerusi Parlimen bagi Melaka (untuk PRU15).
"Kita putuskan PKR kekal dua kerusi dan Amanah juga dua kerusi dan DAP akan tambah Alor Gajah kerana ini kawasan tradisional yang ditandingi DAP sejak awal tapi didesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya yang lalu maka Alor Gajah diserah kepada Bersatu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Katanya, proses pembahagian kerusi itu telah melalui satu proses yang panjang bermula dari peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), peringkat negeri, peringkat jawatankuasa khas yang mewakili pimpinan sebelum diangkat kepada Majlis Presiden PH.
Katanya, malahan negeri diberi tempoh yang panjang untuk berbahas dan memuktamadkan perkara itu.
Muda melalui Presiden penajanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 27 Oktober menegaskan akan bersama PH untuk bertanding pada PRN Melaka, 20 November ini.
Katanya, meskipun pendaftaran Muda masih belum diluluskan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), pihaknya berasakan sudah tiba masanya parti itu mencetuskan budaya politik baharu, bermaruah dan berintegriti dengan Melaka sebagai perintis kepada usaha berkenaan.
Beliau berkata, Muda akan bergabung dengan PH dalam membentuk satu pasukan yang kuat untuk bersaing dengan beberapa parti lain pada PRN Melaka.
Bagaimanapun kenyataan Anwar yang juga Presiden PKR pada sidang akhbar hari ini menyimpulkan bahawa perjuangan PH pada PRN Melaka tidak melibatkan Muda.
Dalam pada itu Anwar berkata, Majlis Presiden PH sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo PH pada PRN Melaka.
Tegasnya, ia juga akan menjadi ujian permulaan bagi penggunaan logo itu dalam pilihan raya gabungan parti berkenaan.
"Seluruh kekuatan PH iaitu Amanah, DAP dan PKR akan hanya menonjolkan logo PH.
"Kita berjuang hanya atas satu logo, satu pendirian dan satu manifesto," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca