SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan lambang parti itu iaitu 'bulan' bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan lambang parti itu iaitu 'bulan' bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November hadapan.

Saranan itu dikemukakan kerana Menteri Air dan Alam Sekitar itu berpandangan semua parti Melayu berkenaan sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan Pas.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mengajak semua pihak, dipercayai ditujukan kepada UMNO dan Bersatu, untuk memikirkan pandangan berkenaan.

"Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan Pas, elok kalau kita gunakan satu logo iaitu logo Pas dalam PRN Melaka nanti. Fikir-fikirkan," katanya melalui hantaran dalam Facebooknya pada Jumaat.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada cadangan Tuan Ibrahim itu adalah bersifat peribadi atau mewakili pendirian Pas.

Hal ini kerana isu penggunaan lambang pilihan raya kini menjadi pertikaian di antara Pas, Perikatan Nasional (PN) dan UMNO ketika ini.

MISBAHUL MUNIR
Pada Selasa, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ketiga-tiga parti dalam koalisi itu iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan bersetuju untuk menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan perkara itu perlu diserahkan kepada pucuk kepimpinan Pas untuk diputuskan sama ada menggunakan lambang pilihan raya PN atau Pas kerana ia berkaitan dasar parti.

Terkini, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Pas dengan syarat parti itu menggunakan lambang parti sendiri pada PRN Melaka.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Misbahul Munir Masduki berpandangan kenyataan Tuan Ibrahim adalah bersifat peribadi kerana keputusan akhir penggunaan lambang pilihan raya akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pas Pusat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Pas akan mengambil kira pandangan semua pihak untuk dipertimbangkan pucuk kepimpinan parti memandangkan isu penggunaan lambang pilihan raya adalah merupakan soal dasar parti.

"Cuma pandangan Tuan Ibrahim itu mungkin sebagai peringatan kepada mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan Pas agar tidak meletakkan syarat berat-berat.

"Saya turut bersetuju pandangan lambang pilihan raya tidak wajar dijadikan sebagai syarat bekerjasama kerana perkara itu menyentuh dasar Pas sendiri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca