KUALA LUMPUR - Nasib anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 terbela selepas kerajaan memperuntukkan RM25 juta tahun hadapan. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 hari... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Nasib anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 terbela selepas kerajaan memperuntukkan RM25 juta tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini berkata, peruntukan itu bagi melindungi masa depan dan pendidikan mereka.

"Kerajaan menyediakan RM25 juta melalui Yayasan Keluarga Malaysia bagi melindungi kebajikan, masa depan dan pendidikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

"Perdana Menteri telah berkesempatan melawat anak-anak yang kehilangan ibu dan bapa akibat Covid-19 pada 16 Oktober lalu.

"Seluruh negara turut melahirkan rasa simpati atas nasib adik-beradik ini. Buat adikMuhammad Hadhrami; Husna Humaira; Muhammad Harraz; Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira serta anak-anak yatim piatu Keluarga Malaysia yang lain, kami sayang semua, kami sentiasa ada untuk menjaga kamu semua," katanya hari ini di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul turut menyeru syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama bekerjasama dengan kerajaan bagi membela nasib anak-anak ini.

"Kerajaan menggesa semua pihak tidak kira NGO, komuniti setempat, pemimpin tempatan malah syarikat korporat untuk memainkan peranan bagi memastikan kebajikan anak-anak ini terus terpelihara supaya semua dapat hidup bersama sebagai satu keluarga tanpa terpisah dan dapat membina masa hadapan yang cerah," katanya.

Mengikut rekod, seramai 4,696 kanak-kanak telah menjadi anak yatim selepas kematian waris atau ahli keluarga mereka akibat dijangkiti Covid-19 di negara ini sehingga hujung bulan September lalu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihak kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil inisiatif bagi memberi sokongan kepada kanak-kanak terlibat.

Katanya, kementerian telah menyediakan sebanyak 36 institusi dan tujuh tempat yang dikhaskan bagi membantu kanak-kanak berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca