KUALA LUMPUR - Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) menawarkan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion tahun hadapan. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) menawarkan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini berkata, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300 ribu orang dan peruntukan RM2 bilion.

"Seperti semua sedia maklum, pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang signifikan kepada pekerjaan dan mata pencarian rakyat, dengan kadar pengangguran telah meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020.

"Sungguhpun ia kini telah menyederhana dengan kadar 4.6 peratus pada Ogos 2021, hampir 750,000 saudara-saudari kita yang masih menganggur perlu dibantu.

"Oleh itu, mengambil semangat konsep job guarantee, bagi tahun hadapan, kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600 ribu peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion,” katanya di Dewan Rakyat.

Sinar Premium sebelum ini melaporkan Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mendapati bilangan penganggur di negara ini tidak banyak berubah antara suku pertama iaitu 771,800 orang dan suku kedua 764,900 orang.

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan, berdasarkan Statistik Siswazah 2020, bilangan penganggur siswazah mencecah 28 peratus atau seramai 202,400 orang.

Katanya, ia satu peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu jumlah penganggur siswazah adalah seramai 165,200 orang (2019) dan 158,400 orang (2018).

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata, di bawah inisiatif itu, kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Selain itu katanya, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti orang kurang upaya (OKU), orang asli dan banduan pula, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

"Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca