KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk menaikkan nilai pemberian Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 berbanding RM100 sebelum ini. Berikutan kenaikan nilai bantuan itu, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk menaikkan nilai pemberian Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 berbanding RM100 sebelum ini.

Berikutan kenaikan nilai bantuan itu, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejumlah RM450 juta diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan tiga juta murid-murid yang layak.

Jelas beliau inisiatif itu merupakan sebahagian daripada peruntukan besar yang diterima Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu sejumlah RM52.6 bilion dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bakal diperuntukkan sejumlah RM14.5 bilion.

"Dengan sekolah mula dibuka, suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak akan terus diberi perhatian.

"Pada tahun hadapan, sejumlah RM 1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.

"Peruntukan ini juga termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar, meningkat berbanding RM100 juta ringgit pada tahun 2021," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul turut mengumumkan sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk manfaat penyelenggaraan kepada 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Di samping itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukkan dinaikkan kepada RM746 juta.

"Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

"Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, kerajaan menyediakan RM50 juta antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.

"Selain itu, sebanyak lapan buah blok baharu pendidikan khas turut dibina, antaranya di SMK Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah di Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca