KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan tersebut dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Jelas beliau, inisiatif itu dibuat bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah syarikat senaraian awam.

Tambahnya, setakat ini, masih terdapat 27 peratus atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita.

"Sumbangan wanita dalam ekonomi tidak pernah dinafikan malah perlu diperkukuh.

"Buat masa ini, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama.

"Bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan sejumlah RM 30 juta disediakan bagi membolehkan kemudahan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam dapat dilaksanakan.

Ujarnya, kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat.

"Untuk itu, selain insentif cukai, kerajaan turut akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat satu pejabat.

"Sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja, kerajaan turut bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023,"katanya.

Klik di sini untuk terus membaca