KUALA LUMPUR - Unjuran ekonomi negara dijangka akan terus berkembang di antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun 2022, berpaksikan asas ekonomi kukuh dan struktur pelbagai.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan prestasi ini turut bergantung kepada faktor-faktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia.
Jelas beliau, secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang antara tiga hingga empat peratus bagi tahun ini.
"Keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kita dijangka berkembang antara tiga hingga empat peratus bagi tahun ini, Insya-ALLAH
"Pada tahun depan, ekonomi negara diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya yang pelbagai.
"Namun, prestasi ini turut bergantung kepada faktorfaktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menurut Tengku Zafrul lagi, langkah kerajaan mengetengahkan sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dengan jumlah keseluruhan RM530 bilion, yang tidak termasuk peruntukan Belanjawan 2021. membolehkan pertumbuhan ekonomi negara kembali mengembang.
"Melaluinya juga, pertumbuhan ekonomi yang sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada 2020, kini telah berkembang 7.1 peratus setakat separuh pertama 2021.
"Walaupun suku ketiga tahun ini dijangka terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun suku keempat dijangka akan memulih apabila hampir semua negeri beralih ke fasa empat serta sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh," katanya.
Tengku Zafrul juga menegaskan kerajaan tidak pernah alpa dalam soal memelihara rakyat dan perniagaan sepanjang krisis Covid-19 melanda.
"Walau digasak pelbagai cabaran dalam ruang fiskal yang terhad, kerajaan tetap mencari jalan menyediakan bantuan kepada yang memerlukan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca