KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 bilion bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi Bajet 2022.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat berkata, sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan untuk mempertingkatkan kesiagaan aset-aset utama Angkatan Tentera Malaysia.
Katanya, peruntukan ini turut melibatkan RM14 juta bagi mengganti peralatan utama Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (Paskau).
"Kebajikan anggota-anggota polis dan tentera kita juga tetap menjadi keutamaan. Bagi tahun hadapan, RM230 juta disediakan untuk kerja-kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
"Peruntukan ini turut melibatkan penggantian dan pembaikan lif serta kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya di Dewan Rakyat.
Ke arah memperkukuh kedaulatan negara Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan di Sabah dan Temong Mura di Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.
Selain itu katanya, kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano.
Klik di sini untuk terus membaca