KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan terhadap pemilikan kenderaan elektrik (EV) bermula tahun hadapan.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hal ini kerana kerajaan melihat potensi EV yang memiliki ciri-ciri kenderaan menggunakan tenaga efisien sebagai usaha meminimumkan pencemaran asap kenderaan ke udara.
Di samping itu, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.
"Bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV.
"Pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan inisiatif Voluntary Carbon Market akan dilancarkan di bawah kendalian Bursa Malaysia bagi memenuhi sasaran neutral karbon.
Jelasnya, inisiatif ini akan bertindak sebagai platform sukarela bagi dagangan kredit karbon antara pemilik aset teknologi hijau dengan mana-mana entiti ke arah peralihan amalan rendah karbon.
"Selain itu, untuk membantu kerajaan meningkatkan amalan lestari dan rendah karbon seperti menambah penggunaan bahan mentah lestari dan tenaga boleh diperbaharui, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon dengan nilai dana sebanyak RM1 bilion ringgit secara padanan dengan dana yang setara daripada institusi kewangan peserta," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca