BARU-baru ini taikun teknologi terkenal di dunia, Mark Zuckerberg mengumumkan penukaran nama korporat untuk syarikat induk Facebook yang mana beliau ialah salah seorang pengasasnya kepada Meta. Penukaran nama tersebut sebagai usaha untuk... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini taikun teknologi terkenal di dunia, Mark Zuckerberg mengumumkan penukaran nama korporat untuk syarikat induk Facebook yang mana beliau ialah salah seorang pengasasnya kepada Meta.

Penukaran nama tersebut sebagai usaha untuk melakukan penjenamaan semula secara besar-besaran.

Bagaimanapun, nama untuk aplikasi Facebook, Instagram dan Whatsapp masih dikekalkan tetapi logo syarikat itu yang menunjukkan tanda bagus juga ditukar dengan reka bentuk infiniti berwarna biru.

Pengumuman itu dibuat pada Khamis lalu dengan khabar angin mengenai nama Facebook itu telah pun tersebar lebih awal iaitu sejak 19 Oktober lalu apabila satu sumber mendedahkan tentang penukarannya.

Facebook bukan satu-satunya syarikat yang bertindak menukarkan nama kerana sebelum ini Google juga melakukan perkara sama pada tahun 2015 apabila ia duduk di bawah satu syarikat induk dikenali dengan nama Alphabet.

Penukaran nama kepada Alphabet itu dibuat bagi menunjukkan ia bukan sekadar sebagai enjin carian maklumat di internet tetapi juga mahu mengambarkan bahawa Google turut membuat teknologi kereta tanpa pemandu dan kesihatan.

Pada tahun 2016, syarikat media sosial yang dikenali dengan nama Snapchat Inc. menukar namanya kepada Snap Inc. bagi menunjukkan ia juga merupakan sebuah syarikat pengeluar cermin mata berkamera.

Snap Inc. kini mempunyai produk yang dikenali sebagai 'Spectacles' iaitu sepasang cermin mata yang mempunyai video kamera dengan jarak pandangan sebanyak 115 darjah dan ia boleh memberitahu pengguna lain bahawa si pemakai cermin mata tersebut sedang melakukan rakaman.

Cermin mata itu boleh merekodkan video selama 10 saat dan ia kemudian akan dihantar kepada telefon pintar menerusi perkhidmatan Bluetooth atau Wi-Fi dan disimpan ke dalam aplikasi Snapcat.

Namun, penukaran nama Facebook yang ditubuhkan pada tahun 2004 juga dilakukan selepas ia mengumumkan akan menggaji seramai 10,000 orang di Kesatuan Eropah (EU) untuk membina 'metaverse' iaitu versi virtual internet untuk masa depan.

Zuckerberg juga pernah berkata bahawa 'metaverse' akan menjadi tumpuan besar syarikatnya dan ia akan menjadi teknologi penting sama seperti ketika telefon bimbit yang mempunyai kemudahan internet buat masa ini.

Nama syarikat induk Facebook dan logo tanda bagus tidak lagi digunakan mulai Khamis lalu. - Foto AFP

APAKAH ITU METAVERSE

Zuckerberg yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Meta pernah menggambarkan 'metaverse' sebagai alam maya virtual iaitu seseorang pengguna boleh memasukinya dan tidak hanya melihat sesuatu di hadapan skrin sahaja yang mana setiap orang boleh bertemu, bekerja dan bermain tetapi mereka perlu memakai sejenis peralatan khas di kepala atau seperti cermin mata.

Menurut seorang penganalisis yang mengikuti perkembangan teknologi iaitu Victoria Petrock, 'metaverse' akan menggabungkan aspek-aspek kehidupan lain seperti beli-belah dan media sosial.

Facebook bukan satu-satunya syarikat yang merancang untuk menggunakan 'metaverse' tetapi beberapa firma lain turut membincangkan tentang penggunaan alam maya virtual tersebut seperti Microsoft dan firma pembuat cip, Nvidia.

Syarikat-syarikat permainan video turut terlibat dalam membangunkan alam maya virtualnya seperti Epic Games yang sebelum ini popular dengan permainan video berjudul 'Fortnite' dan telah mendapat dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.14 bilion) daripada para pelabur untuk membantunya memajukan 'metaverse.'

Platform permainan video, Roblox juga menyatakan visinya bagi menggunakan 'metaverse' yang mana orang ramai boleh datang bersama dalam alam maya untuk bekerja, bermain, bersosial dan belajar.

PERNAH DIPOPULARKAN 29 TAHUN LALU

Secara faktanya, 'metaverse' telah dipopularkan oleh seorang penulis fiksyen Amerika Syarikat (AS) kira-kira 29 tahun lalu iaitu Neal Stephenson apabila sebuah novel tulisannya berjudul 'Snow Crash' dijual pada tahun 1992 yang menceritakan tentang orang ramai memakai sejenis alat di kepala untuk bermain permainan digital di alam maya.

Beliau telah meramalkan penggunaan wang kripto seperti bitcoin, kecederasan tiruan (AI) dan ruang alam maya dalam novelnya itu.

Kini, bitcoin dan AI semakin banyak digunakan manakala pada bulan Jun lalu, El Salvador di Amerika Tengah yang mempunyai lebih dua juta penduduk menjadi negara pertama di bumi membenarkan rakyatnya untuk menggunakan bitcoin sebagai mata wang sah dalam sebarang urusniaga.

Zuckerberg dilaporkan memilih untuk menggunakan nama Meta bagi menggantikan Facebook kerana nama Meta diambil dari perkataan Greek yang bermaksud 'beyond' dalam bahasa Inggeris manakala bahasa Melayu membawa makna melangkaui, melewati atau melampaui.

Ketika mengumumkan nama baharu itu menerusi persidangan virtual pada Khamis lalu, CEO itu berkata, bahawa sudah tibanya syarikat Facebook untuk menggunakan nama baharu bagi menggambarkan apa yang sedang dilakukan oleh syarikat tersebut ketika ini. - Agensi

Seorang lelaki merakamkan gambar swafoto di depan logo Meta di Menlo Park, San Francisco, Amerika Syarikat pada 28 Oktober lalu. - Foto AFP
Klik di sini untuk terus membaca