BARU-baru ini timbul dakwaan mengatakan konsep Keluarga Malaysia adalah ‘cetak rompak’ daripada Deklarasi (baca: dasar) Keluarga Malaysia yang dibawa Pakatan Harapan (PH).
Agak lucu juga membaca dakwaan itu yang jelas memang sengaja mahu mencipta kontroversi dan merendah-rendahkan konsep Keluarga Malaysia tanpa penelitian yang adil dan mendalam.
Sebagai permulaan, istilah konsep dan dasar itu pun sudah cukup memberitahu kedua-keduanya berbeza. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, istilah konsep lazimnya menggambarkan pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu, manakala dasar pula adalah pendirian yang menjadi asas segala tindakan (sikap, keputusan atau polisi) kerajaan.
Jadi secara mudah, istilah konsep itu bersifat umum menggambarkan idea atau gagasan intelektual yang abstrak dan dinyatakan dalam bentuk simbol atau perkataan, manakala dasar adalah pernyataan niat (statement of intent) dan dilaksanakan sebagai prosedur, protokol dan panduan dalam mencapai objektif disasarkan.
Dari perspektif semantik, Keluarga Malaysia adalah ‘simbolik’ - sebuah konsep untuk menyatupadukan bangsa Malaysia. Kerajaan menjadikan Keluarga Malaysia sebagai teras agenda negara dalam pelbagai program.
Deklarasi Keluarga Malaysia pula hanya fokus kepada ‘keluarga’ sebagai unit rumah tangga, berbanding keluarga sebagai sebuah institusi negara, apatah lagi ia adalah penerusan kepada Dasar Keluarga Negara (DKN) yang ironinya diilhamkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2010.
Idea Keluarga Malaysia lebih abstrak dan inklusif berbanding Deklarasi Keluarga Malaysia yang mahu meneruskan kesinambungan dasar sedia ada.
Keluarga Malaysia adalah aspirasi jangka panjang kalis cabaran masa hadapan negara berlandaskan keberhasilan kebahagiaan berbanding DKN yang mahu meletakkan unit keluarga rumah tangga sebagai keutamaan dalam segala perancangan dan tindakan.
Mengapa begitu? Konsep Keluarga Malaysia mempunyai visi jangka panjang untuk memulihkan negara dan mencapai status Malaysia negara maju serta berpendapatan tinggi melalui tiga skop utama - memulihkan semula dan merapatkan jurang ekonomi, menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia dan mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan.
Hal itu berbeza dengan enam prinsip teras Deklarasi Keluarga Malaysia yang secara umumnya menyasarkan kesinambungan dan penambahbaikan sistem nilai serta akhlak daripada satu generasi kepada generasi berikutnya sebagai teras pembentukan sebuah negara bangsa.
Walaupun Deklarasi Keluarga Malaysia telah dilaksanakan dan menjadi sebahagian dasar negara, sedikit malang apabila implementasinya tidak dapat dijalankan dengan sempurna disebabkan perubahan kerajaan.
MULA MENINGGALKAN LEGASI
Ia sedikit berbeza dengan Keluarga Malaysia. Sejak diumumkan Ogos lalu, kerajaan tidak menunggu lama untuk melaksanakan pelbagai program bersifat actionable dan bermanfaat dalam konteks Keluarga Malaysia melalui Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan Covid-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.
Jelaslah, Keluarga Malaysia telah mengorak langkah bagi memastikan apa yang dirancang itu cepat dirasai dan disedari. Berbanding dengan Deklarasi Keluarga Malaysia. Setidak-tidaknya Keluarga Malaysia sudah mampu meninggalkan legasi, persepsi dan impak.
Mungkin perkara-perkara sebeginilah yang patut dilihat secara objektif dalam menilai keupayaan, kemampuan dan pengalaman sesebuah kerajaan sebelum memilih serta mengabsahkan mana-mana pihak sebagai pentadbir negara yang selayaknya.
*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca