SESUNGGUHNYA kita bebas membina impian. Pun begitu, tidak ramai yang bersungguh-sungguh merealisasikan impian mereka kerana pelbagai halangan. Sebaliknya, mereka hanya berkongsi impian semata-mata. Setiap impian ada kewajarannya sendiri.... Klik di sini untuk terus membaca

SESUNGGUHNYA kita bebas membina impian. Pun begitu, tidak ramai yang bersungguh-sungguh merealisasikan impian mereka kerana pelbagai halangan.

Sebaliknya, mereka hanya berkongsi impian semata-mata. Setiap impian ada kewajarannya sendiri.

Sekiranya kita benar-benar yakin dengan keupayaan kita untuk memenuhi impian tersebut, teruskanlah. Jangan biarkan sesiapa pun menghalang impian kita kerana ia adalah jiwa dan semangat yang tulen dalam diri. Hanya kita yang tahu keterujaan dan kesukaran untuk memenuhi impian tersebut.

Menurut John Maxwell, seorang pakar dalam bidang kepimpinan – "Impian adalah komoditi yang sangat berharga. Impian tersebut akan memberikan tenaga dan keterujaan dalam hidup. Setiap individu perlu ada impian. Namun, masih ramai yang tidak menggalakkan diri mereka ada impian.”

Bagi mereka yang ada impian, mengalami masalah putus harapan pula. Menurut beliau lagi: "Terdapat beberapa salah tanggapan berkaitan impian iaitu ada impian tetapi tiada strategi, impian yang begitu idealistik, mempercayai bahawa impian akan tercapai jika ada kerjaya yang baik, banyak harta dan adanya kedudukan yang tinggi.” Justeru, impian boleh dicapai dalam pelbagai keadaan dan merentasi sempadan masa.

Berbeza dengan negara Barat, mereka sangat menghargai impian seseorang. Malah, kata-kata yang biasa diungkapkan oleh mereka adalah: "Jangan biarkan sesiapa menghalang impian kamu, sebaliknya terus melangkah untuk penuhi impian tersebut.”

Maka, tidak hairanlah ramai merancang impian sejak kecil lagi kerana disokong sepenuhnya oleh guru-guru, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Kejayaan artis tersohor, pemenang pingat Olimpik dan pelbagai kecemerlangan yang ditonjolkan adalah bermula dengan satu impian.

Sebetulnya, masih ramai yang malu untuk berkongsi impian mereka kerana sikap memperlekehkan impian orang lain masih menebal dalam masyarakat.

DIPERLEKEHKAN IMPIAN

Saya masih ingat sewaktu belajar di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Malaya (UM), ramai dalam kalangan kawan saya yang keluar universiti kerana mendapat tawaran sambung pengajian di Maktab Perguruan. Walaupun di peringkat sijil, namun tawaran tersebut menambat hati mereka kerana dijamin mendapat pekerjaan sewaktu kemelesetan ekonomi yang agak teruk ketika itu.

Apabila balik kampung, ramai pula saudara mara yang marah dengan tindakan saya kerana tidak memohon untuk belajar di Maktab Perguruan. Kenapa saya tidak pohon? Ini kerana saya membina impian sejak di bangku sekolah lagi untuk belajar di universiti.

Walaupun disindir dan diperli, saya tetap bersemangat untuk teruskan impian kerana sokongan yang kuat daripada ibu bapa.

Pada hemat saya, mereka yang suka menyindir dan memandang rendah impian orang lain disebabkan oleh kegagalan mereka memenuhi impiannya selama ini.

Kegagalan mereka dihamburkan pula kepada orang lain. Berkaitan hal itu, daripada Abdullah ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Pun begitu, impian tidak akan tercapai jika kita tidak fokus dan berusaha dengan gigih serta sabar. Sewaktu saya tamat sesi Viva-voce di peringkat PhD dengan jayanya, pemeriksa luar telah berkata kepada saya: "Ambillah telefon saya (pada masa itu bateri telefon saya sudah habis) dan hubungi emak awak untuk berkongsi kegembiraan ini.”

Balas saya: "Terima kasih atas keprihatinan profesor, namun ibu saya ada penyakit Alzheimer dan sudah tidak tahu erti kegembiraan”.

Serentak dengan itu, air mata sedih dan gembira bercucuran tanpa kawalan lagi. Ingatlah, tidak semestinya impian kita signifikan dan relevan pada semua keadaan. Apa yang penting, kita teruskan impian kerana hebatnya kuasa impian.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca