KETIKA saya menulis artikel ini, seperti orang lain juga agaknya, hati berdebar menunggu pembentangan Bajet 2022. Isu yang menarik perhatian saya adalah saranan tentang kelestarian alam sekitar. Ia isu penting yang menggambarkan pendirian... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA saya menulis artikel ini, seperti orang lain juga agaknya, hati berdebar menunggu pembentangan Bajet 2022.

Isu yang menarik perhatian saya adalah saranan tentang kelestarian alam sekitar. Ia isu penting yang menggambarkan pendirian kerajaan bagi memastikan khazanah alam kita terpelihara dengan baik demi generasi akan datang.

Baru-baru ini saya ada membaca pautan laman sesawang yang dikirimkan oleh bos saya. Artikel itu memberi ulasan pakar-pakar tentang fokus Malaysia kepada pelan perancangan menangani perubahan iklim.

Antara beberapa perkara yang saya petik daripada pakar-pakar tersebut menyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang telah dibentangkan di Parlimen dan lulus pada 7 Oktober lalu – Perdana Menteri telah memberi kenyataan berani untuk melaksanakan pelan pengurangan perubahan iklim.

Sasaran negara katanya, mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2050. Dikatakan sasarannya lagi, kereta elektrik akan mula berada di atas jalan raya dan tenaga yang diperbaharui akan digunakan di bandar-bandar. Begitu juga loji kuasa arang batu yang baharu akan dibina.

Kata pakar, pelan itu terlampau optimistik, bak kata pepatah rendah gunung tinggi harapan. Pelan tanpa perincian boleh menyebabkan apa yang dirancang tidak kesampaian bak kata pepatah lagi, langit runtuh, bumi cair.

"Malaysia tak pernah kekurangan idea jangka panjang. Sentiasa mempunyai cita-cita dan harapan tinggi,” kata Niloy Banarjee, United Nation Development Programme (UNDP), perwakilan untuk Malaysia, Brunei dan Singapura.

Kata beliau: "Cabarannya adalah bagaimana menjalankannya terutama cabaran yang akan timbul masa hadapan bagi memastikan pelan itu berjaya.

"Sebenarnya kami juga terkejut. Kami sebelum ini tak pernah pula mendengar tentang rancangan Malaysia untuk mencapai Carbon Neutrality menjelang 2050,” kata Presiden Friends of The Earth Malaysia, Meena Raman.

"Baguslah ada perancangan itu cuma kami tidaklah ada perinciannya lagi kerana tanpa perincian, bak kata pepatah, apa payahnya menaupkan bibir atas bawah,” tambah beliau.

"Kurangnya maklumat perincian tentang pelan ini membuatkan saya lebih berhati-hati mendengar hasrat kerajaan ini," kata Darshan Joshi daripada Institute of Strategic and International Strategies (ISIS) Malaysia.

"Pelan itu memang nampak menyeluruh yang menunjukkan kerajaan faham kepentingan alam sekitar dan faham langkah perlu diambil untuk memastikan isu perubahan iklim ini dapat ditangani, namun apakah perinciannya dan polisi sebenarnya?" tanya beliau lagi.

PELAN

Saya berpendapat memang perlu perincian. Sekadar membuat perancangan, semua orang boleh buat, cuma saya pun tidaklah lagi melihat atau mendengar perincian yang akan dibuat bagi memastikan isu alam sekitar dapat ditangani.

Sebelum ini saya ada juga menulis tentang solar. Banyak cadangan untuk bertukar kepada tenaga solar.

"Solar panel boleh bertahan hingga 25 tahun,” kata seorang profesor daripada sebuah universiti tempatan ketika membuat pembentangan di pejabat saya untuk mempromosikan solar panelnya.

"Kalau selepas 25 tahun nanti, panel-panel tu macam mana kita nak lupuskan?” tanya saya.

Isu yang perlu kita fikirkan adalah penyelesaian yang bukan sahaja berjangka pendek tetapi jangka panjang.

Kalau kita dapat mengurangkan kesan karbon sejajar dengan pelan kerajaan melalui RMK-12, maka selepas itu apakah kita sudah mempunyai pelan, solusi atau kaedah sistem pelupusan pula?

Kereta elektrik mungkin memberi banyak kesan baik untuk persekitaran dengan mengurangkan pencemaran. Namun bagaimana pula dengan bateri keretanya? Adakah perincian, cara dan kaedah untuk melupuskannya?

Seorang kawan saya di sebuah jajaran lebuh raya memberitahu, kereta elektriknya sudah tidak pakai sekarang.

"Kenapa?” tanya saya.

"Harga baterinya buat aku pengsan,” jawab kawan saya.

Mungkin cara kita berfikir adalah buat dulu, masalahnya difikirkan kemudian. Seperti kata pakar-pakar di atas, sehingga kita dapat perincian dan polisi bagaimana melaksanakan yang sebelum ini ibarat tak tentu hilir mudiknya, maka barulah kita akan tahu sama ada menjadi atau tidak pelan itu.

*Penulis ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan meminati penulisan kreatif.

Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca