KITA sering mendengar usaha-usaha kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri yang menggembleng tenaga memperkasakan mahkamah syariah sebagai elemen penting pentadbiran keadilan bagi orang Islam di Malaysia. Pelbagai kejayaan dan kemajuan telah dicapai oleh mahkamah syariah dari masa ke semasa. Institusi mahkamah syariah menjadi tanda aras dan diikuti oleh mahkamah-mahkamah lain di dalam dan di luar negara di dalam beberapa aspek.
Jelaslah usaha ini merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan mahkamah syariah. Profesion peguam syarie juga perlu dimartabatkan melalui undang-undang yang khusus terpakai kepada semua peguam syarie. Setakat hari ini Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 sudah diluluskan Parlimen tetapi masih belum berkuatkuasa.
Namun mungkin tidak disedari oleh sesetengah golongan bahawa terdapat beberapa lagi badan sokongan yang boleh mencorak perjalanan kes-kes di mahkamah syariah khususnya di dalam kes-kes jenayah.
Badan-badan ini adalah pendakwa syarie dan penguat kuasa agama. Pendakwa syarie adalah orang yang bertanggungjawab untuk mendakwa orang yang disyaki telah melakukan kesalahan di sesebuah negeri manakala penguat kuasa agama adalah orang yang menyiasat dan mengumpulkan bukti bagi mendakwa orang yang melakukan kesalahan.
Kedua-dua badan ini amat penting bagi memastikan mahkamah syariah dapat membuat keputusan yang adil setelah mengambil kira bukti-bukti yang dikemukakan.
Namun hakikatnya kedua-dua badan ini kurang diberi penekanan dan perhatian berbanding mahkamah syariah. Mungkin sudah sampai waktunya pihak kerajaan menumpukan perhatian menyusun semula pendakwa syarie dan penguat kuasa agama ini dari sudut kekuatan sumber manusia, latihan, pendedahan dan juga operasi.
Kes-kes jenayah yang dirujuk ke mahkamah syariah pula semakin hari semakin kompleks khususnya dengan munculnya pelbagai ajaran sesat seperti Syiah, Qadiani, Ayah Pin, Rasul Melayu, Tuhan Harun dan banyak lagi.
Pembunuhan Ketua Penguat Kuasa Agama Pahang suatu ketika dahulu yang disyaki mempunyai kaitan dengan tugas rasmi Allahyarham di dalam menyiasat kes-kes ajaran sesat merupakan bukti yang jelas perlunya dinilai kembali sistem dan kebajikan pegawai-pegawai di kedua-dua sektor ini. Bilangan yang terlalu sedikit bagi melaksanakan kes-kes jenayah syariah amatlah menyedihkan terutamanya bagi negeri yang mempunyai saiz besar seperti Sarawak, Pahang dan Perak.
Prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dibangunkan oleh kerajaan dan diamalkan oleh pendakwa syarie dan penguat kuasa agama. Hal yang demikian bagi memastikan bahawa tiada kesilapan semasa melakukan tugas rasmi dan mengelakkan tindakan mereka dicabar di mahkamah pula.
Dengan adanya SOP, ia akan berupaya menepis segala tohmahan tidak berasas mengenai tindakan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama.
Tidak guna kita mempunyai kemudahan mahkamah bertaraf dunia sekiranya pihak pendakwa dan penguat kuasa agama masih tidak menjalankan kerja mereka secara profesional dan diberi kebebasan mengamalkan tindakan mereka.
Sudah pasti perubahan ketiga-tiga badan ini akan menjadi tanda aras baru kepada sistem perundangan syariah di Malaysia yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat Malaysia sendiri.
Namun kita tak perlu cepat berpuas hati terhadap pencapaian kita, masih terlalu banyak perkara atau ruang yang masih boleh diperbaiki dari masa ke semasa. Kini beberapa buah negeri sudah pun mempunyai jabatan pendakwaan syarie sendiri, namun bagi penguat kuasa agama, mereka masih lagi duduk di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing.
Pendakwa syarie dan penguat kuasa agama perlu bebas menjalankan fungsi mereka. Undang-undang yang khusus untuk mereka juga perlu digubal bagi memastikan kebebasan ini dapat dilaksanakan.
Penguat kuasa agama seperti juga polis, perlu menjalankan tugas mereka dengan adil dan saksama, bebas dari sebarang tekanan atau arahan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca