ASEAN menunjukkan ketegasannya untuk tidak mengundang Ketua Panglima Tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hliang untuk tidak menghadiri Persidangan ASEAN dan Persidangan Asia Timur 2021. Ini merupakan kali pertama ASEAN mengambil tindakan yang tegas semenjak penubuhannya lebih dekad yang lalu.
Rentetan daripada itu maka timbul beberapa persoalan antaranya, apa yang mendesak ASEAN untuk bertindak sedemikian rupa? Selain itu, adakah tindakan ini menandakan ASEAN sudah mula meninggalkan amalan tidak campur tangan atau non-interference? Apa reaksi Myanmar dan kesannya terhadap kestabilan dan keadaan politik Myanmar? Bagaimana tindakan ini akan memberi kesan kepada hubungan ASEAN-Myanmar? Akhir sekali bagaimana tindakan ini memberi kesan kepada ASEAN dalam kalangan masyarakat antarabangsa?
ASEAN terpaksa mengambil tindakan yang tegas memandang keadaan di Myanmar semakin runsing menurut kumpulan pro-demokrasi Progressive Voice Myanmar, seramai 1,200 orang sudah terkorban akibat kekerasan tentera semenjak rampasan kuasa tentera yang berlaku pada 1 Februari 2021. Ini jelas bertentangan dengan Konsensus 5 Point yang telah dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN ketika Persidangan Khas ASEAN mengenai Myanmar yang diadakan pada 24 April 2021. Aung Hliang telah turut menyertai dan bersetuju dengan Konsensus 5 Point itu.
Pertama ialah segala bentuk keganasan di Myanmar harus dihentikan segera; kedua, pihak yang bertelagah harus mencari penyelesaian damai untuk menamatkan krisis ini melalui ‘dialog konstruktif’; ketiga, bahawa Brunei, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, akan melantik perutusan khas untuk menjadi orang tengah dalam krisis Myanmar; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada negara itu; dan kelima, Perutusan Khas ASEAN akan pergi ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak dalam krisis. Namun begitu setelah enam bulan keadaan politik dan kes pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar semakin membimbangkan.
Tambahan lagi Perutusan Khas ASEAN, Datuk Erywan Yusof yang dijadualkan untuk melawat Myanmar pada awal Oktober sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Konsensus 5 Point dilarang untuk berjumpa dengan bekas Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi. Oleh demikian, Erywan telah membatalkan usahanya untuk melawat Myanmar. Perkara ini menunjukkan Myanmar tidak langsung komited kepada Konsensus 5 Point yang mana pemimpinnya, Aung Hliang telah persetujui.
Justeru itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menyeru agar pemimpin Myanmar tidak diundang ke Persidangan ASEAN dan beliau mendapat sokongan daripada Indonesia, Singapura, Filipina termasuk Brunei Darussalam selaku negara tuan rumah Persidangan ASEAN. Negara-negara lain seperti Kemboja, Vietnam dan Laos walaupun tidak memberi apa-apa kenyataan berhubung isu ini namun mereka tidak membantah.
Persoalan yang seterusnya adakah tindakan ASEAN bertentangan dengan prinsip tidak campur tangan dalam isu-isu tempatan negara-negara ahli? Jawabnya tidak, kerana kesan rampasan kuasa dan pergolakan politik di Myanmar turut dialami di seluruh rantau Asia Tenggara. Lebih daripada 250,000 orang menjadi mangsa pelarian ke negara jiran seperti Thailand dan Bangladesh akibat operasi kekerasan yang dilancarkan oleh tentera Myanmar. Jelas sekali masalah di Myanmar sudah menjadi masalah kepada keselamatan rantau Asia Tenggara.
Akhir sekali, apa yang harus dibuat oleh ASEAN selepas ini? Pertama, ini merupakan suatu langkah positif bagi ASEAN kerana sebelum ini ASEAN sering kali dikritik sebagai sebuah organisasi talk shop iaitu hanya mampu berbincang tetapi tiada tindakan. Isu ini telah memperkukuhkan kredibiliti ASEAN di peringkat antarabangsa.
Kedua, ASEAN tidak harus berhenti malah mempertingkatkan tekanan diplomatik terhadap Myanmar supaya mereka benar-benar mematuhi Konsensus 5 Point yang mereka sendiri telah persetujui. Ketiga, isu ini sudah menjadi suatu insiden dalam ASEAN. Diharapkan Kemboja apabila mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2022 akan meneruskan usaha ketegasan dalam ASEAN.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca