ADA satu berita dari Perak baru-baru ini yang mengganggu siang dan malam Belalang. Sebuah perkampungan Orang Asli di Sungai Gapes, dekat Kampar, menunggu 25 tahun untuk memperolehi sebuah surau. Itu pun mereka usaha sendiri dengan... Klik di sini untuk terus membaca

ADA satu berita dari Perak baru-baru ini yang mengganggu siang dan malam Belalang.

Sebuah perkampungan Orang Asli di Sungai Gapes, dekat Kampar, menunggu 25 tahun untuk memperolehi sebuah surau.

Itu pun mereka usaha sendiri dengan pertolongan orang ramai dan sebuah NGO yang berjaya mengumpul dana sehingga RM40,000 untuk membina surau tersebut.

Menurut laporan Agensi Berita Nasional atau Bernama, terdapat enam keluarga Islam di perkampungan Orang Asli itu. Surau baharu yang akan dibina nanti mampu memuatkan 45 orang jemaah pada satu-satu masa.

Selama ini mereka berjemaah di rumah salah seorang daripada keluarga Islam di situ dan tidak dapat memuatkan seluruh masyarakat Islam Orang Asli yang ingin berjemaah.

Rumah yang dijadikan surau sementara itu dimiliki oleh Nur Halimah Abdullah yang merupakan salah seorang Orang Asli di situ yang pertama memeluk Islam pada tahun 1996. Besar jasa, pahala dan pengorbanannya.

Yang lebih menyentuh perasaan Belalang ialah tanah untuk didirikan surau itu dihadiahkan oleh kakak Nur Halimah yang bukan pun beragama Islam.

Kakaknya yang bernama Wan Icha berkata dia rela menghadiahkan tanahnya untuk tujuan pembinaan surau itu kerana kasihan melihat saudaranya yang beragama Islam dan rakan-rakan Islam yang lain mahu berjemaah tetapi berhadapan dengan kesukaran.

Maka Belalang pun tertanya- tanya, apakah yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Perak selama ini.

Tidak adakah usaha bagi membantu (tidak banyak pun sedikit) membina surau untuk kemudahan masyarakat Orang Asli di penempatan berkenaan.

Begitu juga dengan wakil rakyat kawasan berkenaan. Tak pernahkah menjengah masyarakat Orang Asli di situ.

Jika pernah, tidak mungkin masalah yang mereka hadapi selama 25 tahun tidak diketahui.

Dan apa pula alasan yang Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia mahu berikan?

Kalau nama jabatan ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli tapi Orang Asli sendiri kelihatan ketinggalan dalam serba serbi, lebih baik ditukar saja nama jabatan tersebut kepada yang mana lebih sesuai.

Dalam sebuah negara yang mana agama Islam adalah agama rasmi dan di serata pelusuk tanah air, taman, kampung, hulu dan hilir ada kemudahan surau tapi di sini tidak ada.

Maka Belalang berasa sukar untuk menghadam situasi sebegini. Sebaliknya Belalang dapati, pihak berkuasa dan masyarakat lebih sibuk membicarakan soal Sajat dan wiski Timah.

* Belalang - Sibuk biar bertempat.

Klik di sini untuk terus membaca