GERAKAN Wawasan Lembaga Insan (WALI) adalah platform pertama untuk rakyat menampilkan diri menjadi calon Bebas bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengasasnya, Dr Mohamed Noortheen Ahmad Mustafa berkata, platform tersebut bakal memberi... Klik di sini untuk terus membaca

GERAKAN Wawasan Lembaga Insan (WALI) adalah platform pertama untuk rakyat menampilkan diri menjadi calon Bebas bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengasasnya, Dr Mohamed Noortheen Ahmad Mustafa berkata, platform tersebut bakal memberi peluang untuk rakyat memerintah negara.

"Kita ini takkan hendak duduk mengeluh tepi jalan, kedai kopi, sampai bila? Tidak beri kesan, cakap dan tiada tindakan, kadang-kadang kita perlu pecahkan jadikan perkara itu satu tindakan.

"Kalau kamu sayangkan negara, tentukan sekali ingin buat sesuatu sebagai rakyat sebab kita tahu setiap kerajaan adalah daripada rakyat,” katanya.

Ikuti kupasan Dr Mohamed Noortheen dalam wawancara bersama Sinar Ahad yang dikendalikan oleh wartawan, Muhammad Yusainy Mohamad Yunus.

SINAR HARIAN: Bagaimana suasana politik pada masa ini?

DR MOHAMED NOORTHEEN: Sebenarnya, bukan masa ini sahaja (melihat suasana politik negara), saya boleh ingat sejak zaman Tunku Abdul Rahman.

Masa itu kecil lagi dan sampai hari ini saya masih ingat. Kalau hendak dibandingkan suasana sekarang saya rasa kita perlu tolong kerajaan sebab masalah yang kita hadapi sekarang kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dan suasana pada hari ini disebabkan oleh rakyat.

Sebab kita yang buat keputusan dalam pilihan raya. Jadi kita tidak boleh salahkan sesiapa. Sudah menjadi tabiat saya kalau apa-apa pun, saya salahkan diri sendiri dulu. Kalau pesakit saya datang buat aduan dan lihat apa kesalahan saya dahulu.

Jangan kita tengok kesalahan orang lain. Sekarang apa yang kita tengok adalah salah kita kalau kita buat apa yang betul, baik untuk negara. Kita kena tengok apa yang baik untuk negara bukan untuk orang lain.

Saya rasa Malaysia adalah negara yang diberkati, tetapi kebelakangan ini dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan kalau hendak dibandingkan memang menampakkan penurunan.

Menurun itu tidak semestinya baik atau buruk sebab ia subjektif, yang penting kita kena tengok outcome dahulu, baru kita meneliti proses. Kita tidak mahu proses bagus tetapi hasil tidak bagus.

>>WALI merupakan sebuah gerakan yang mengemukakan pendekatan tanpa parti untuk 222 kerusi Parlimen sebagai calon Bebas. Boleh jelaskan bagaimana ia akan dilakukan?

Saya rasa diberkati oleh ALLAH sebab saya selesa, tetapi kalau nak lebih selesa, saya kena pentingkan diri sendiri. Namun sebab saya selesa negara tidak selesa, orang kita tidak selesa, bagi saya itu selfish sebenarnya. Saya perlu keluar dari zon selesa dan membuat sesuatu untuk negara tercinta. Tidak mengapa untuk mencuba tetapi gagal daripada tidak mencuba langsung.

Saya memang tidak suka mengikut proses menyertai parti politik dan memang tidak berminat serta tidak teringin pun masuk sebarang parti politik kerana saya merasakan ia seperti permainan snake and ladder.

Apabila saya berjumpa ramai orang, mereka mengatakan yang mereka mahu pemimpin baharu daripada calon Bebas tetapi dalam pilihan raya, calon Bebas itu tidak ada peluang kecuali di Sabah dan Sarawak.

Jadi ada ada kawan-kawan dan ahli keluarga minta saya memasuki mana-mana parti politik serta mereka beritahu saya jangan bazir masa dan mengatakan calon Bebas senang dibeli. Semuanya memberikan pandangan negatif.

Bagaimanapun, saya cabar diri saya untuk jadikan perkara negatif menjadi positif kerana inilah tabiat saya.

Dr Mohamed Noortheen

Jangan lihat calon Bebas ini semuanya sama. Kena ada satu platform untuk rakyat dan saya merancang satu peluang untuk orang biasa macam kita ini. Kita ini takkan nak duduk mengeluh tepi jalan, kedai kopi, sampai bila? Tidak beri kesan, cakap dan tiada tindakan, kadang-kadang kamu perlu pecahkannya jadikan perkara itu satu tindakan.

Kamu sayangkan negara dan nak buat sesuatu untuk rakyat sebab kita tahu setiap kerajaan adalah daripada rakyat.

Bagi saya, saya lihat macam rakyat kita ini gunakan ejen untuk menjadi kerajaan, Apakah ejen itu? Parti-parti politiklah.

Jadi parti politik bagi saya adalah ejen untuk rakyat. Kita bagi mereka undi dan mereka jalankan tugas untuk negara. Rakyat mesti memerintah negara, ahli politik adalah ejen kita. Kita tuan, mereka ejen bukan sebaliknya.

Kita jadikan contoh parti politik ini seperti kenderaan, ada bas, kereta api dan calon Bebas pula adalah seperti motor skuter. Jadi kamu tengok sekarang suasana politik negara ini seperti bas yang sudah rosak, kereta api pun sudah rosak tetapi ada skuter sahaja yang boleh bantu untuk mencapai destinasi.

Jadi kita ambil skuter ini untuk digunakan dan bagi saya, WALI memberi peluang dan platform untuk rakyat biasa supaya mereka rasa bersemangat dan nak buat sesuatu. Saya bagi kamu platform dan peluang. Saya hanya menyediakan kenderaan sebab saya punya kelayakan ialah rakyat Malaysia.

WALI ada untuk anda. Jadi bahasa mudahnya WALI adalah rakyat. Jadi kita bersama untuk membuat sesuatu yang baik Insya-ALLAH.

>>Apakah manifesto utama yang hendak dibawa oleh calon-calon Bebas nanti?

Sebenarnya manifesto utama yang saya nak bawa ialah semestinya jangka masa panjang itu kita hendak mentadbir negara.

Untuk jangka masa pendek kita mahu perkukuhkan ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

Semua itu akan dilakukan secepat mungkin. Insya-ALLAH sebab itu yang sebenarnya kita mahu bawa. Janganlah kita fikir diri sendiri tetapi untuk semua orang. Saya memang sedih, sebab dalam kalangan rakyat ini saya tabiklah, apa yang kita buat pada pilihan raya tahun 2018, satu dunia tabik dengan kita.

Jadi sekarang kita buat apa yang kita hendak, apa yang baik untuk negara dan kita. Kalau negara maju, saya maju dan akhirnya semua orang maju. Jadi katakanlah kita fokus kepada negara bukan individu atau parti politik.

Buat apa yang betul untuk negara dan tanya kepada hati, anda sayang negara lebih atau parti politik lebih? Itu lebih penting.

>>Setakat ini sudah adakah calon yang dikenal pasti?

Sejujurnya empat bulan lalu, saya terjaga dan mahu lakukan sesuatu dan sebelum saya melancarkan WALI. Kita cuma ada tiga calon Bebas. Bukan mudah untuk meyakinkan orang. Saya menyasarkan sebulan seorang calon Bebas dan kini selepas WALI dilancarkan kita sudah ada seramai 100 calon.

Alhamdulillah dan rakyat nak tampil dan buat sesuatu. Jika menyertai parti politik banyak proses perlu lalui, tetapi dengan saya, cepat dan pantas. Insya-ALLAH, sehingga PRU15 ramai akan tampil dan objektif kita satu sahaja untuk negara cinta. Masalahnya negara sekarang bukan tanggungjawab orang lain tetapi kita rakyat.

>>Bagaimana dengan dana untuk membolehkan calon-calon ini berkempen?

Itu soalan yang sangat bagus. Saya tahu anda akan bertanya. Setakat ini semuanya pakai wang peribadi saya, kos peribadi dan dana peribadi. Jadi kita kena tunjuk yang saya serius sekarang.

Saya tidak tahu kerana, akhirnya nanti, akan ada yang di luar sana, macam saya, sanggup menaja secara sukarela.

Kamu tahu seperti adik dan abang. Konsep seperti itu.

Seperti dalam bidang perubatan, apabila masuk tahun pertama di Universiti Malaya, kami mencipta sistem kawan.

Tahun kedua, akan kawan dengan pelajar tahun pertama. Tolong dia dalam semua perkara sampaikan kewangan, pendidikan, buku dan sebagainya.

Jadi mudah-mudahan saya boleh mencipta sistem kawan sini. Secara hipotesisnya, katakanlah saya ada 100 calon dan 100 ini kalau kita boleh cari 100 penaja, macam sistem kawan yang boleh membantu sebab kos untuk satu calon hampir RM10,000 hingga RM15,000.

Dr Mohamed Noortheen

Untuk mengurangkan kos, terutamanya dalam suasana Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, saya berharap kita dapat laksanakan sifar kos untuk mengadakan PRU15.

Sebagai penghormatan kepada lebih 20,000 nyawa yang telah pergi meninggalkan kita, ia sepatutnya menjadi PRU15 yang paling senyap yang bermaksud tiada sebarang sambutan dan tiada sebarang kempen langsung.

Macam bola sepak kalau ada berita buruk mereka akan bertafakur selama satu minit untuk hormat sesiapa yang mati, saya rasa PRU15 sepatutnya bukan sesuatu yang menggembirakan, PRU15 sepatutnya hormat orang yang meninggal dunia.

Jadi untuk PRU15 kita gunakan cara baharu. Tiada kempen dan tiada pembaziran wang dan bersifat hijau.

Dengan mengadakan pilihan raya, ia akan merosakkan persekitaran, plastik, botol dan kos untuk ambil barang dan buang dalam negara.

Jika kita lakukan norma baharu dari segi hidup dan hasilnya mestilah bersih dari segi alam sekitar, semoga rakyat tidak menanggung sebarang kos dan kerajaan tidak membazir wang.

Semua orang perlu berkorban. Takkan awak suruh rakyat macam-macam, kemudian buang duit semasa berkempen.

Anda sepatutnya menggunakan wang itu untuk membantu rakyat. Saya mencadangkan kempen secara digital kerana ia mesra alam, itulah yang sepatutnya.

Selain itu, jangan pilih kasih. Pertama fokus pada rakyat. Bagi saya semua yang saya lakukan saya fokus kepada rakyat. Saya berfikir seperti rakyat kerana saya rakyat. Saya tidak berfikir sebagai ahli politik.

>>Berdasarkan data pilihan raya, calon Bebas tidak mendapat sokongan yang besar dan ramai kehilangan wang deposit. Tidakkah tindakan itu merugikan?

Tidak, kamu lihat rugi dari sudut kewangan tetapi itu retorik yang kamu baru baca dan ia relevan untuk PRU14. Memang tiada peluang untuk calon Bebas ketika itu tetapi ia berbeza untuk PRU15 unik disebabkan Covid-19.

Dalam banyak cara, saya selalu nak lihat positif daripada negatif. Saya rasa rakyat sudah mula percaya pada gerakan Bebas. Mereka adalah ejen anda, kalau rakyat bagi sokongan dan percaya pada calon Bebas.

Jadi (sekarang) mengapa 32 juta rakyat tidak memberi peluang ini untuk datang dan melihat, bagaimana mereka boleh mentadbir negara.

Memang ada risiko, walaupun tanpa kerajaan tetapi Malaysia ini negara yang diberkati dan Malaysia akan melakukannya dengan baik. Kalau rakyat nak menyebelahi calon Bebas boleh.

Bagi saya memilih calon Bebas kini berisiko rendah dan berikan dia satu kesempatan. Sebab dari segi pengurusan risiko, saya tidak tahu seseorang calon itu mampu atau tidak tetapi macam mana kita hendak tahu kalau rakyat tidak beri dia peluang.

Kuasa di tangan rakyat. Rakyat ialah bos untuk mengupah dan memecat. Berapa kosnya? Kosnya tidak seberapa, tetapi bayangkan jika kita boleh melakukan kerja yang hebat, siapa yang akan mendapat faedah? Rakyatkan, apa yang saya katakan bagi kita peluang untuk melakukan sesuatu yang baik untuk negara. Tiada bahaya.

Anda melihat peluang, beri mereka peluang, tidak ada salahnya, anda tidak meletakkan negara dalam keadaan yang lebih teruk.

Jangan lupa, dalam kalangan rakyat, ada ramai yang sangat pandai. Mereka keluar dan melakukan sesuatu untuk negara bukannya hanya duduk dalam rumah dan jadi keyboard warriors. Saya keluar daripada suasana yang selesa da ramai lagi yang boleh buat dan jangan risau. Kalau anda niat baik untuk negara, Insya-ALLAH.

>>Satu elemen utama untuk menang dalam pilihan raya ialah memiliki jentera yang kuat. Bagaimana ia akan dilakukan?

Sekarang ini jentera kita adalah menerusi digital. Saya rasa jentera fizikal pada masa ni memang tidak sesuai sebab risiko Covid-19 dan seperti yang saya katakan norma baharu.

Jadi bagi saya jentera saya adalah digital sebab lebih efektif dan berkesan, untuk jentera fizikal tinggi kos dan tradisi lama serta buang duit. Kita akan gunakan secara digital sehabis baik.

Tiada kontak fizikal, kerana kita risau dalam suasana Covid-19, kita sebarkan virus. Kehidupan lagi penting daripada kejayaan.

>>Adakah calon Bebas terikat dengan agenda WALI dan bagaimana hendak pastikan mereka tidak bertukar fikiran dan memihak kepada mana-mana parti yang tidak selari dengan agenda WALI?

Dari segi agenda WALI, manifesto yang saya ada saya ini, buat apa saya paparkan? Manifesto semua boleh nampak di laman web kami. Manifesto parti politik biasanya masa kempen baru dikeluarkan. Ia macam rahsia.

Dalam kempen saja dikeluarkan manifesto tetapi di laman web WALI, saya tunjuk semua manifesto saya pada semua rakyat sebab itu saya panggil manifesto rakyat, bermakna rakyat boleh tampil dan cadangkan.

Ia manifesto rakyat. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada calon tersebut. WALI lain, sebab kita perlukan resume dan semak latar belakang. Jadi semua kena bersih.

Saya bagi analogi mudah, kita duduk di rumah kita ada sistem penggera, ini adalah untuk menghalang daripada dirompak sahaja, bukan untuk memberhentikan rompakan, ini semua adalah halangan sahaja. Kalau anda berniat jahat, memang nak buat sesuatu, saya tidak boleh buat apa. Siapa saya? Saya harapkan tiga elemen iaitu jujur, ikhlas dan berwibawa.

>>Apakah logo yang akan digunakan dalam pilihan raya nanti?

Apa yang kita tahu calon Bebas tiada logo. Semua calon Bebas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bagi satu logo tetapi di belakang logo itu akan ada logo WALI. Jadi kalau kita 100 calon kemudian ada 100 logo tetapi kita akan buat cara untuk rakyat kenal calon ini daripada WALI.

Insya-ALLAH pada masa akan datang (akan ada logo) tetapi kita tidak boleh pakai logo ini untuk pangkah undi sebab SPR akan bagi logo kunci, meja dan rotan sebagai contoh.

>>Adakah pengundi bersedia untuk mengubah fikiran dan memilih seorang calon Bebas seperti yang diusahakan?

Itu saya tak dapat pastikan, tapi belum cuba belum tahu. Ini saya mula dan mencuba, dari mula saya lancarkan kempen ini sampai PRU15, Insya-ALLAH saya boleh mengubah fikiran rakyat untuk percaya dan mengundi calon Bebas.

>>Adakah terdapat kemungkinan untuk WALI bertukar menjadi sebuah parti politik pada masa depan?

Insya-ALLAH, berkemungkinan kita tidak boleh pertikai. Setakat ini, seperti yang diketahui ramai untuk mendaftarkan parti politik susah untuk dapat kelulusan. Kita tengok suasana nanti, satu hari nanti. Kenapa tidak?

>>Bagaimana doktor melihat masa depan negara?

Masa hadapan negara adalah di tangan rakyat, bukan di tangan saya. Sebab saya nak buat sesuatu yang lain untuk masa depan negara, sebab itu saya wujudkan WALI.

Anda mahukan masa depan negara yang terbaik untuk generasi baharu. Bila bercakap pasal masa depan negara, kita perlu fokus kepada generasi baharu dan orang muda. Banyak yang kita perlu dan kena buat untuk sediakan negara ini dengan kebaikan.

Saya hanya moderator atau perangsang untuk generasi baharu, apa yang saya buat ini adalah untuk mereka.

Bagi saya, jika WALI gagal, saya rasa rakyat juga telah gagal sebab WALI adalah rakyat.

Jika WALI gagal dalam PRU15, bagi saya ia pada dasarnya rakyat gagal kerana saya di sini untuk rakyat.


>>ANEKDOT


Apakah peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan doktor?

Peristiwa yang membanggakan, apabila saya mendapat fellowship pada tahun 1992.

Itu masa yang amat membanggakan, bukan sebab saya lulus tetapi sebab orang Eropah apabila dia tulis nama, dia akan tulis nama bapa, bukan nama kita. Jadi bila saya dapat keputusan, dia tulis nama Mustafa, nama saya tiada, dia panggil nama bapa saya.

Bila saya balik ke rumah, saya bagi keputusan dan bapa saya tengok, dia bangga sangat. Dia kata "tengok, you tengok, nama kamu tiada, nama saya ada”. Dia bangga sangat. Selepas satu minggu bapa saya meninggal.

Bapa saya seolah-olah berkata, "OK la nak, tanggungjawab saya dah habis”. Saya ada enam orang adik beradik dan saya anak bongsu, mungkin ayah saya mengatakan "alhamdulillah, OK lah, saya kembali ke rahmatullah”.

Di manakah tempat bakal doktor tandingi dalam PRU nanti?

Saya masih buat kajian sebab banyak kawasan yang boleh saya pilih. Lembah Pantai mungkin akan menjadi pilihan saya. Saya lahir di Kajang, membesar di Kampung Baru dan Petaling Jaya.

Bagi saya, itu (pemilihan kawasan bertanding) tidak penting lagi. Yang lebih utama adalah untuk tarik perhatian rakyat. Insya-ALLAH bila sampai masa kita tentukan.


>>PROFIL


- Dr Mohamed Noortheen Ahmad Mustafa

- Pakar Bedah Ortopedik dengan lebih 30 tahun pengalaman luas dan latihan khusus dalam mengendalikan kes-kes kritikal.

- Beliau menamatkan Ijazah MBBS di Universiti Malaya pada tahun 1987.

- Ijazah Sarjana di Royal College of Surgeons of Edinburgh pada tahun 1992.

- Pada tahun 2010, beliau menjadi Pemeriksa untuk Royal College of Surgeons of Edinburgh.

Klik di sini untuk terus membaca