[WAWANCARA] Diketahui umum sejak awal Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada Kedah. Bagaimanapun, keadaan Pulau Pinang mulai berubah selepas kedatangan ejen Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Francis Light. Atas permintaannya,... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Diketahui umum sejak awal Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada Kedah. Bagaimanapun, keadaan Pulau Pinang mulai berubah selepas kedatangan ejen Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Francis Light.

Atas permintaannya, Sultan Kedah ketika itu dengan ehsan membenarkan Francis Light membuka pejabat di Pulau Pinang sementara menunggu perbincangan muktamad.

Kemudiannya, Francis Light menamakan Pulau Pinang sebagai Prince of Wales Island.

Pendudukan Pulau Pinang sejak tahun 1786 telah menyebabkan Kedah kerugian dalam perdagangan sejak ratusan tahun. Disebabkan itu, kerajaan Kedah memohon supaya kerajaan Persekutuan memberi bayaran pampasan atau royalti sebanyak RM100 juta atas pendudukan Pulau Pinang itu.

Ikuti wawancara khas Sinar Harian bersama Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar bagi mengupas isu tindakan Kedah membuat tuntutan royalti RM100 juta atas pendudukan Pulau Pinang tersebut.

SINAR HARIAN: Boleh Dr terangkan bagaimana berlakunya pendudukan Pulau Pinang?

DR IBRAHIM : Saya melihat ada tiga fasa bagaimana boleh menerangkan pendudukan Pulau Pinang oleh Inggeris, iaitu fasa pertama pendudukan haram, fasa kedua, pendudukan pemaksaan dan fasa ketiga, perjanjian berat sebelah Perai.

Pada fasa pertama, Francis Light datang ke Kedah dan mengadap Sultan Kedah pada masa itu, Sultan Abdullah Mukarram Shah untuk memohon supaya dibenarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) membuka pusat perniagaan di Pulau Pinang pada 31 Ogos 1785.

Sultan Abdullah bersetuju mempertimbangkan permohonan Francis Light dengan beberapa syarat, antaranya SHTI hendaklah menjaga pantai laut Kedah, bantuan ketenteraan, membayar wang pampasan 30,000 dollar Sepanyol dan bantuan senjata api sekiranya ada serangan dari darat.

Sultan Abdullah bersetuju sekiranya semua syarat-syarat itu dipersetujui SHTI. Seterusnya, surat ditulis oleh Sultan dihantar terus ke pejabat SHTI di India pada hari sama.

Pada 1786, Sultan Abdullah membenarkan Francis Light menduduki Pulau Pinang sementara menunggu surat jawapan dari SHTI di India. Berikutnya, dalam tempoh antara 6 Februari 1786 hingga 9 April 1791, Sultan Abdullah beberapa kali meminta Francis Light datang mengadap baginda untuk berbincang syarat-syarat namun beliau enggan.

Malah, Francis Light tidak pernah memenuhi syarat-syarat perjanjian yang diminta itu, serta tidak membuat apa-apa pembayaran. Sebab itu pendudukan fasa awal ini layak dikatakan sebagai pendudukan haram.

Seterusnya, tiba masa fasa kedua, yakni apabila Sultan Abdullah amat kecewa dengan sikap Francis Light yang sudah nampak belangnya. Ketika itu Sultan Abdullah telah menitahkan kepada pembesar-pembesar supaya Francis Light dihalau keluar dari Pulau Pinang.

Mengetahui rancangan Kedah hendak bertindak, pada 12 April 1791 tentera SHTI di Pulau Pinang telah datang menyerang kubu orang Melayu di Perai, menyebabkan orang Kedah yang berkumpul di situ terpaksa bersurai.

Setelah itulah pihak Inggeris merangka suatu perjanjian untuk ditandatangani. Mereka enggan melayan cadangan Sultan Abdullah meminta pampasan kerugian perdagangan sebanyak 30,000 dolar, sebaliknya memaksa Kedah menerima 6,000 dolar Sepanyol sahaja.

Permintaan Sultan supaya pihak Inggeris menyediakan tentera untuk menjaga perairan Kedah daripada gangguan Siam juga tidak disebut. Dengan itu pihak Sultan Abdullah tidak bersetuju.

Sebaliknya pihak Francis Light hanya menandatangani suatu surat perjanjian dengan tiga individu yang kononnya mewakili Kedah. Sebab itu perjanjian yang sering diangkat sebagai perjanjian pajakan Pulau Pinang itu amat bercanggah dengan semangat sesuatu perjanjian yang sebenar.

Ia boleh dianggap sebagai suatu pemaksaan. Seterusnya, tiba fasa ketiga iaitu apabila Sultan Abdullah telah mangkat, digantikan oleh Sultan Dhiauddin Mukarram Shah.

Pada 1800, Gabenor Sir George Leith menghantar wakil bernama Caunter ke Kedah mengadap Sultan Dhiauddin untuk memohon kawasan negeri Kedah bertentangan Pulau Pinang dalam usaha mencukupkan bekalan makanan bagi penduduk yang semakin ramai.

Selepas berbincang, Sultan Dhiauddin bersetuju supaya kawasan dinamakan Seberang Perai ditadbir oleh pihak Inggeris dengan bayaran 4,000 dolar Sepanyol setahun, namun isu ketenteraan untuk menjaga perairan Kedah yang dituntut sejak lama terus diabaikan.

Perjanjian itu nyata amat berat sebelah. Maka selepas itu jumlah pampasan menjadi 10,000 dolar Sepanyol. Semenjak itulah, pendudukan Pulau Pinang berlaku sehingga kini.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar menunjukkan isi kandungan tentang isu itu dalam buku Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence' oleh Sejarahwan, R. Bonney.

>>Apa pandangan Dr apabila dikatakan Pulau Pinang dipajak ataupun diserahkan Kedah menerusi penyewaan kepada British?

Pada pandangan saya, pajakan atau penyewaan merupakan perkataan kurang tepat disebabkan tiada perjanjian ataupun surat pajakan membuktikan dakwaan itu.

Seperti dikatakan Bonney (1971:77), sejarah ini telah dipesongkan ataupun disalah tafsir dan ia lebih merupakan tipu muslihat Francis Light sehingga boleh menduduki wilayah Kedah secara tidak sah pada peringkat awalnya.

>>Boleh Dr jelaskan tentang perkataan 'selagi ada bulan dan bintang' yang seringkali disebut-sebutkan terdapat dalam perjanjian?

Sebenarnya, tidak ada perjanjian itu. Yang ada hanya surat-surat. Tentang ayat ‘selagi ada bulan dan bintang’ tersebut, ia sebenarnya merujuk kepada kebiasaan penulisan surat menyurat pada zaman itu, tetapi telah disalahertikan. Sebaliknya, ayat ini merujuk kepada kisah persahabatan antara Sultan Abdullah dan Francis Light sahaja.

Pada zaman dahulu, surat-surat sememangnya menggunakan ayat berbunga-bunga seumpama itu. Jadi, ia bukanlah bermaksud suatu tempoh perjanjian kononnya ‘selagi ada bulan dan bintang’. Ia merupakan satu salah faham sahaja.

>>Adakah benar Sultan Kedah ke-20, Sultan Abdullah Mukarram Shah ada menandatangani dokumen yang dikatakan perjanjian pajakan Pulau Pinang?

Sebenarnya, Sultan Abdullah Mukarram Shah sama sekali tidak pernah menandatangani dokumen yang dikatakan perjanjian itu. Memang tidak ada perjanjian pajakan antara Sultan Abdullah dengan Francis Light .

Dalam surat itu terbukti tidak ada tandatangan Sultan Abdullah pun, hanya tandatangan tiga orang yang didakwa sebagai wakil Kedah sahaja.

Perkara ini telah dijelaskan dalam buku Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence oleh R Bonney.

Sejak 1786, Sultan Abdullah telah meminta Francis Light bertemu untuk berbincang beberapa kali, namun tidak dilakukan dan beliau kerap berdolak dalih.

Kira-kira lima tahun kemudiannya, SHTI menandatangani satu perjanjian di Fort Cornwallis, bukan di Istana Kedah, dengan tiga orang wakil Kedah pada 1 Mei 1791, yakni selepas mereka menyerang kedudukan tentera Kedah di Perai.

Bukan Sultan Abdullah yang menandatangani perjanjian dikatakan itu, sebaliknya ia ditandatangani Tunku Syarif Muhammad, Tunku Alang Ibrahim dan Datuk Penggawa Telibung, kononnya mewakili Sultan Abdullah.

Justeru, memang tiada tandatangan Sultan Abdullah dengan cop mohor.

>>Jadi adakah ini bermakna Pulau Pinang masih milik Kedah?

Betul. Kita perlu jelaskan kepada orang ramai bahawa Pulau Pinang sememangnya hak milik Kedah yang sah dari dulu sehingga kini. Hal ini disebabkan tiada perjanjian ataupun surat pajakan.

Jadi, naratif yang mendakwa Pulau Pinang dipajak dari Kedah pada tahun 1786 tidak berlaku. Dokumen dikatakan perjanjian antara Kedah dan Pulau Pinang yang dipamer kepada orang ramai hanya sekadar surat yang membincangkan ke arah perbincangan tentang pulau itu dan sebagainya sahaja, sekali gus bukanlah perjanjian pajakan.

Jadi, fakta sejarah tentang pendudukan Pulau Pinang perlu diperbetulkan.

>>Ada pihak tertentu mendakwa Kedah tidak berhak ke atas Pulau Pinang kerana bersetuju atas pajakan kerana Thailand yang dahulunya dikenali sebagai Siam yang memiliki kedaulatan ke atasnya?

Perlu dijelaskan, sejak dahulu, Siam dari zaman Sukhotai, zaman Ayutthaya hingga ke zaman Bangkok, mereka sentiasa menyatakan bukan hanya Kedah, Pulau Pinang tetapi kesemua seluruh Semenanjung Tanah Melayu merupakan hak mereka.

Malah, Kampuchea dan Vietnam juga hak mereka. Inilah yang diajar dalam sukatan pendidikan di sana sekarang ini. Rakyat mereka terus diterapkan bahawa seluruh Semenanjung adalah hak mereka yang dinamakan sebagai Suvarnabhumi.

Bukan hanya Kedah, kita kena ingat bagaimana orang Melayu hilang Setol, Trang dan Pattani. Ini semua adalah kerja British dan Siam yang tidak ambil kira langsung Raja-Raja Melayu yang ada di Semenanjung.

Mereka hanya kira diri mereka sahaja. Ibarat kuih dalam talamlah, mereka bahagi sesama mereka tanpa tanya kita langsung, sedangkan hak itu semuanya hak kita. Kemudian, ada pula rakyat Malaysia sendiri menyatakan kita adalah hak Siam.

Inilah fahaman pelik, namun bagi orang yang memahami sejarah negara keadaannya begini: ketuanan atau kuasa kesultanan Kedah tidak pernah hilang walaupun didakwa oleh sesetengah pihak wujud ketuanan Siam dalam sejarah pemerintahan Kedah dan juga setelah kedatangan British, kerana Sultan Kedah memerintah secara sah dan berdaulat. Vis a vis Pulau Pinang, ia secara de facto (berkuasa secara sah atau tidak) dan de jure (sah menurut undang-undang) di bawah kesultanan Kedah. Jadi hujah bahawa Siam yang kehilangan Pulau Pinang, bukan Kedah, berupa satu tafsiran dan bukan kebenaran sejarah atau suatu historical truth. Kesultanan Kedah ialah sebuah kesultanan paling lama yang berterusan wujud sejak ribuan tahun.

Ini adalah legitimasi kuasa sultan yang berkuasa ke atas seluruh jajahan Kedah, sudah tentu termasuk Pulau Pinang.

>>Berapakah wang pampasan atau royalti diterima Kedah selama ini ?

Sejak tahun 1800, Kedah hanya menerima bayaran royalti RM10,000 setahun sebagai pampasan. Pembayaran royalti itu bermula pada 1791 sebanyai 6,000 dolar Sepanyol, hanya berdasarkan kepada perjanjian dibuat oleh Francis Light, kemudian ditambah menjadi sebanyak 10,000 dolar Sepanyol sejak 1800.

Bagaimanapun, pembayaran royalti dibuat mengikut nilai Ringgit Malaysia (RM) selepas merdeka. Kemudian pada 2018, barulah Kedah menerima pemberian sumbangan khas berjumlah RM10 juta setahun.

>>Jadi adakah ini bermakna tuntutan bayaran royalti diminta Kedah berasas dan relevan ?

Ya, Kedah memang wajar menuntut bayaran itu dan permohonan ini harus disokong penuh. Hakikatnya, Kedah telah mengalami kerugian besar sejak ratusan tahun lepas.

Sekiranya ikut perkiraan sebenar bukan RM100 juta, sepatutnya Kedah boleh memohon antara RM400 juta hingga RM500 juta bayaran pampasan oleh kerajaan Pusat yang mewarisi Inggeris atas pendudukan Pulau Pinang itu.

>>Kedah memohon bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Pusat atas pendudukan Pulau Pinang dalam Belanjawan 2022. Bagaimana pandangan Dr sekiranya permohonan kerajaan negeri tidak dipertimbangkan?

Saya yakin pihak kerajaan Persekutuan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Sebab semua orang tahu pihak Kedah telah mengalami kerugian sejak lama, akibat putar belit pihak Inggeris.

Tidak ada orang siuman yang sanggup mengatakan tindakan Francis Light dan Inggeris itu betul. Namun sejarah telah berlaku. Maka apa yang boleh dibuat oleh kerajaan ialah memberikan sedikit pampasan untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat Kedah.

Bayaran royalti daripada kerajaan Persekutuan berkenaan boleh digunakan kerajaan negeri untuk pembangunan Kedah yang mampu memberi kesan langsung kepada kemajuan negara amnya.

Klik di sini untuk terus membaca