SEBELUM mula melabur, setiap orang perlu ambil tahu jenis pasaran yang ada, sama ada mahu melabur di pasaran tempatan ataupun di luar negara. Ibarat kita ingin membeli barang dapur seperti sayuran dan daging. Tentunya kita akan pilih untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SEBELUM mula melabur, setiap orang perlu ambil tahu jenis pasaran yang ada, sama ada mahu melabur di pasaran tempatan ataupun di luar negara. Ibarat kita ingin membeli barang dapur seperti sayuran dan daging. Tentunya kita akan pilih untuk ke pasar yang menjual barangan tersebut.

Kali ini, kita akan fokus kepada ‘pasar’ Bursa Malaysia.

Bursa Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1930 dan dikenali sebagai Persatuan Broker-Broker Saham Singapura. Pada awalnya, ia menjadi pertubuhan rasmi sekuriti di Tanah Melayu.

Pada tahun 1937, ia didaftarkan semula sebagai Persatuan Broker Saham Tanah Melayu dan pada Mei 1960, Bursa Saham Tanah Melayu telah ditubuhkan dan perdagangan saham awam bermula.

Dengan terpisahnya Singapura dan Malaysia, Bursa Saham Tanah Melayu dipecahkan kepada dua iaitu Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan Bursa Saham Singapura (SES).

Bursa Malaysia telah dinamakan semula pada tahun 2004 secara rasminya dan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum Persekutuan. Pelabur dan pedagang boleh membuat transaksi jual beli saham bermula dari jam 9 pagi sehingga jam 12.30 tengah hari untuk sesi pagi dan bersambung pada jam 2.30 petang sehingga jam 5 petang untuk sesi petang.

Produk yang ditawarkan: Saham dan Waran

Saham dan waran adalah antara produk yang ditawarkan di Bursa Malaysia. Saham merupakan hak pemilikan di dalam sesebuah syarikat yang tersenarai. Sekiranya kita membeli saham syarikat, kita merupakan sebahagian daripada pemilik bersama dalam syarikat tersebut. Pemegang saham juga layak untuk hadir dan mengundi di Mesyuarat Agung Tahunan, menerima dividen mahupun saham bonus dari pihak syarikat sekiranya diumumkan dan saham dimiliki dalam tempoh tertentu.

Secara umumnya, saham dan waran merupakan instrumen yang sering menjadi pilihan para pelabur dan pedagang kerana ia merupakan instrumen yang jelas dan mudah difahami.

Pada masa ini, hampir 80 peratus daripada jumlah keseluruhan saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai saham patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Pastinya ia turut memberikan peluang kepada umat Islam untuk memperoleh pendapatan tambahan daripada instrumen ini.

Waran

Waran merupakan pemanis kepada saham induk dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pelabur dan pedagang yang juga merupakan salah satu instrumen pelaburan yang sah dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui Bursa Malaysia.

Namun begitu, pelabur perlu tahu bahawa waran mempunyai tarikh matang dan akan hapus selepas tarikh tersebut. Pemilik waran tidak layak untuk menerima sebarang dividen atau bonus sebagaimana pemegang saham, juga tidak layak mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan syarikat.

Terdapat dua jenis waran iaitu waran syarikat dan waran berstruktur.

Waran syarikat adalah waran yang dikeluarkan oleh syarikat bagi tujuan menambah modal perniagaan syarikat tersebut. Sebelum tarikh luput, waran ini boleh ditukar kepada saham induk pada harga dan kuantiti yang telah ditetapkan. Kebiasaannya waran akan patuh syariah sekiranya saham induknya patuh syariah.

Manakala waran berstruktur pula adalah waran yang dikeluarkan oleh mana-mana institusi kewangan yang bertindak sebagai pihak ketiga dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat saham induk tersebut. Waran berstruktur ini dikeluarkan bagi memberi alternatif kepada pelabur dan pedagang untuk membuat belian serta jualan, dan bukanlah bertujuan untuk mendapatkan modal perniagaan tambahan seperti waran yang dikeluarkan oleh syarikat. Waran ini merupakan instrumen yang tidak patuh syariah kerana hak tersebut tidak dapat ditukarkan menjadi saham induk syarikat. Waran berstruktur adalah waran tidak patuh Syariah walaupun saham induknya patuh Syariah.

Pastikan sebelum terlibat dalam apa jua instrumen pelaburan, kenali instrumen tersebut dan apa risiko serta peluang yang hadir bersamanya. Cari ilmu yang betul supaya tindakan yang dibuat akan menghasilkan keputusan yang betul.

* Mohd Asri Ahmad ialah Mentor Pelaburan Saham Syariah

Klik di sini untuk terus membaca