KAMUS Dewan Perdana, kamus bahasa Melayu terbesar di dunia yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2020 memberi dua definisi bagi istilah antisosial.
Definisi pertama ialah ‘tidak suka bercampur atau bergaul dengan orang lain’. Definisi kedua ialah ‘bersifat bertentangan dengan peraturan atau adat sesebuah masyarakat sehingga boleh mendatangkan kesusahan atau kemudaratan’.
Satu istilah yang sangat mengelirukan pengguna bahasa ialah ‘asosial’. Ia tidak wujud sebagai entri dalam Kamus Dewan Perdana tetapi terdapat dalam laman sesawang Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) yang diakses pada 27 Oktober 2021.
Makna asosial dalam KBBI ialah ‘tidak bersifat sosial, tidak mempedulikan kepentingan masyarakat’.
Ciri utama orang yang bersifat antisosial ialah dia bertentangan dengan peraturan atau adat sesebuah masyarakat sehingga boleh mendatangkan kesusahan atau kemudaratan.
Orang yang asosial pula menarik diri daripada masyarakat dan menghindarkan dirinya secara sukarela daripada berinteraksi dengan orang lain.
Ringkasnya, seorang asosial tidak mempedulikan orang lain. Peribadi antisosial yang mempunyai perilaku membenci atau bersikap antagonistik terhadap orang lain boleh melanggar norma asas masyarakat.
Sifat asosial boleh dilihat pada diri orang yang introvert, yakni orang yang pendiam dan pemalu tetapi tidak menghidapi apa-apa penyakit mental yang serius.
Namun, keadaan asosial yang ekstrem biasanya berlaku kepada orang-orang yang menghidapi kecelaruan mental seperti kecelaruan afektif dwikutub, autisme, skizofrenia, sindrom Asperger, kemurungan dan kecelaruan kebimbangan sosial (social anxiety disorder).
Kecelaruan kebimbangan sosial adalah satu ketakutan yang mendalam tentang perasaan diri diawasi dan dihakimi oleh orang lain. Ia boleh mengesani prestasi sewaktu kerja, di sekolah dan aktiviti seharian hinggalah sukar menjalin persahabatan yang lama dan mendalam.
Antara personaliti asosial dengan personaliti antisosial yang lebih berbahaya bagi masyarakat adalah peribadi yang mempunyai personaliti antisosial.
Orang yang asosial selalunya tidak begitu menghiraukan orang lain kerana dia pemalu dan suka menyendiri. Jarang menyusahkan masyarakat atau menyebabkan bahaya secara langsung kepada orang lain kerana ia bukanlah satu kecelaruan atau penyakit mental.
Mereka yang mempunyai sifat atau trait antisosial perlu dikenal pasti dan diawasi, walaupun sudah pasti mereka tidak menyenanginya.
Sebabnya, jika trait itu menjadi buruk hingga ke peringkat kecelaruan personaliti antisosial, ia mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Peribadi yang mempunyai kecelaruan antisosial ini tidak mengambil kisah kebajikan masyarakat, melanggar peraturannya dan yang lebih teruk adalah tidak belajar daripada hukuman yang lepas.
Orang seperti ini wujud di semua lapisan masyarakat dalam sejarah dunia hinggalah sekarang, yakni daripada kalangan raja dan juga rakyat, pemerintah serta pengikut. Dalam pemerintahan dengan sistem semak imbangnya mangkir (absent) atau lemah, golongan pemerintahan yang elit akan seronok bermaharajalela menzalimi rakyat.
Seperti gula menggamit semut, kelompok elit yang sarat sifat mazmumah mudah menarik perhatian peribadi dan politikus antisosial. Trait antisosial adalah sejenis sifat mazmumah. Bila ia menjadi buruk hingga ke tahap kecelaruan antisosial, maka sifat mazmumah itu menjadi parah dan membarah dalam kalbu psikospiritual seorang manusia.
Ranah psikologi dan spiritual adalah dua daripada empat ranah hayat. Dua lagi adalah ranah biofizikal dan sosial. Sistem siasah masyarakat yang rahmah, adil dan tegas dapat mencegah kecelaruan sosial dalam masyarakat sebelum ia menjadi kecelaruan yang berleluasa.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca