BUKIT KAYU HITAM - Penggunaan dron membantu pihak berkuasa meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Kedah dan Perlis. Ia dapat dilihat menerusi kejayaan mematahkan dua aktiviti penyeludupan daun ketum dengan... Klik di sini untuk terus membaca

BUKIT KAYU HITAM - Penggunaan dron membantu pihak berkuasa meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Kedah dan Perlis.

Ia dapat dilihat menerusi kejayaan mematahkan dua aktiviti penyeludupan daun ketum dengan menggunakan teknologi berkenaan pada September lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintenden Ramli Wan Salin berkata, dua daripada 47 kes rampasan ketum yang berjaya dilakukan pasukannya di Perlis adalah hasil bantuan penggunaan teknologi tersebut.

Menurutnya, maklumat melalui dron disalurkan terus kepada anggotanya sebelum serbuan dilakukan.

"Penggunaan dron ini memang sangat membantu dalam membuat pemantauan dari udara selain penggunaan helikopter.

"Sebelum ini, kita perlu mendapatkan bantuan dari Unit Udara PDRM atau mendapatkan khidmat syarikat swasta untuk menerbangkan dron.

"Saya berharap selepas ini setiap batalion dibekalkan dengan kelengkapan dron dalam menjaga sempadan negara terutamanya membantu memantau aktiviti penyeludupan di sempadan negara Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam di sini baru-baru ini.

Ramli berkata demikian selepas sidang akhbar kejayaan PGA Batalion 18 merampas sebanyak 14,964 kilogram (kg) daun ketum sepanjang Ops Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand di Kedah dan Perlis bermula 1 September hingga 2 Oktober lalu.

Rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM448,920 itu dilakukan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, dron telah digunakan di kawasan sempadan sejak lebih tiga bulan lalu oleh setiap pasukan batalion yang mengambil alih penugasan di sempadan kawasan sekitar Kedah dan Perlis.

Beliau berkata lagi, penggunaan peralatan itu dilihat sudah menjadi keperluan bagi memastikan keselamatan negara terus terjaga selama 24 jam, selain rutin rondaan yang dilakukan oleh pasukan penguatkuasaan.

"Sekiranya dron ini tidak dapat dibekalkan sekali gus kepada setiap batalion, mungkin boleh dibekalkan secara berperingkat kepada lima Briged PGA di seluruh negara.

"Setiap kali penugasan baharu batalion di sesebuah briged itu, maka batalion tersebut boleh menggunakannya pada bila-bila masa,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca