KANGAR - Aktiviti penyeludupan ketum untuk pasaran Thailand semakin meningkat apabila bahan tersebut mendapat permintaan tinggi di negara berkenaan.
Berdasarkan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), harga daun ketum untuk pasaran tempatan sekitar RM10 ke atas sekilogram berbanding pasaran gelap di Thailand mencecah RM80 hingga RM100 sekilogram.
Perlis juga didapati menjadi transit utama penyeludupan daun tersebut dari beberapa buah negeri di utara tanah air.
Malah beberapa laporan akhbar mendedahkan penyeludup atau sindiket ketum sudah berani menggunakan kontena untuk menyeludup daun itu pada skala yang lebih besar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis, Superintenden Mohd Zati Hamid berkata, permintaan yang tinggi ketika ini menyebabkan terdapat pihak sanggup melakukan kegiatan penyeludupan.
"Sudah tentu ada pihak yang sanggup menyeludup daun ketum semata-mata mahu mendapatkan keuntungan.
"Walaupun menyedari mereka akan dihukum jika tertangkap, namun masih ada yang berani melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian dalam sesi temu bual khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Kangar pada Isnin.
Bagaimanapun, katanya, cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran berjaya dipatahkan melalui tindakan penguatkuasaan secara berterusan.
"Bagi tahun ini, lebih 127.6 tan daun ketum dan 2,433.9 air ketum berjaya dirampas di Perlis setakat Ogos 2021 sahaja, malah 183.26 tan daun ketum dan 4,081.85 liter air ketum turut dirampas sepanjang 2020.
"Sehingga Ogos lalu, sebanyak 550 kes berkaitan daun ketum melibatkan 253 tangkapan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dicatatkan, manakala sepanjang tahun 2020, sebanyak 788 kes melibatkan 441 tangkapan mengikut seksyen sama di Perlis,” katanya.
Mohd Zati menjelaskan kewujudan tanaman pokok ketum di Perlis tidaklah sebanyak seperti di negeri lain.
Namun beliau tidak menafikan terdapat beberapa ladang ketum yang aktif dan kurang aktif di sekitar Perlis dengan anggaran keluasan tanaman di daerah Arau lebih kurang 0.864 hektar, manakala Padang Besar (0.720 hektar) serta Kangar (0.011 hektar).
Kegunaan sendiri
Akuinya, kebanyakan tanaman pokok ketum di negeri itu adalah untuk kegunaan sendiri dan Perlis hanya menjadi transit sementara daun ketum dari negeri lain seperti Kedah untuk diseludup ke negara jiran.
"Disebabkan rampasan ketum kerap dilakukan di Perlis terutamanya Padang Besar, maka ia seolah-olah banyak tanaman ketum di sini sedangkan bekalannya bukan dari negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai langkah diambil PDRM untuk mencegah penyeludupan ketum termasuk penguatkuasaan berterusan melalui operasi menangkap pengedar, penjual dan peminum atau penagih air ketum.
Mohd Zati memberitahu, operasi penebangan pokok ketum bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan pejabat tanah negeri sehingga tahap memberi nasihat kepada penanam ketum untuk beralih kepada sektor pertanian yang lain bagi menjana pendapatan.
Mengulas mengenai kesan pengambilan ketum susulan kerajaan Thailand membenarkan penanaman dalam kalangan rakyatnya, beliau menyatakan belum ada pembentangan secara sah di Malaysia oleh mana-mana pihak tentang kebaikan ketum.
"Apatah lagi, kandungannya tersenarai dalam Akta Racun sebagai bahan terlarang,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, antara keburukan ketum ialah ketagihan dan wujud pot penagih, selain kesan sampingan kesihatan seperti risiko keracunan hati dan kerosakan buat pinggang serta insomnia.
Mohd Zati turut mengulas impak kepada negara sekiranya penanaman ketum dibenarkan.
"Jika penguatkuasaan, maka aktiviti berkaitan ketum akan terus berleluasa yang mana masyarakat bebas minum airnya di tempat terbuka,” katanya.
Mohd Zati berkata, daun ketum juga mengandungi bahan kimia dinamakan 'Mitragynine’ yang tersenarai dalam Jadual ke-3 Akta Racun 1952.
Ujarnya, air ketum juga boleh menyebabkan ketagihan sekiranya diminum bersama campuran bahan asing seperti ubat batuk, minuman berkarbonat dan sebagainya.
Klik di sini untuk terus membaca