PERKEMBANGAN teknologi dan pembangunan ke arah Revolusi Industri 4.0 secara tidak langsung akan mempengaruhi cara pengendalian amalan Penilaian dan Pengurusan Hartanah yang dilaksanakan ketika ini. Pendedahan dan pengendalian dalam... Klik di sini untuk terus membaca

PERKEMBANGAN teknologi dan pembangunan ke arah Revolusi Industri 4.0 secara tidak langsung akan mempengaruhi cara pengendalian amalan Penilaian dan Pengurusan Hartanah yang dilaksanakan ketika ini.

Pendedahan dan pengendalian dalam penggunaan teknologi dron bagi kerja-kerja Penilaian dan Pengurusan Hartanah merupakan fenomena baharu yang mula diaplikasikan oleh pemain industri harta tanah di Malaysia.

Penggunaan teknologi dron mengalami perkembangan drastik bagi kerja-kerja berkaitan ketenteraan untuk pemantauan sempadan negara, kerja pembajaan tanaman dan pemantauan serta penyenggaraan lebuh raya.

Dalam bidang hartanah pula, teknologi dron mula digunakan dalam kerja lawat periksa terutama bagi tanah-tanah yang akan dibangunkan melibatkan kawasan cadangan pembangunan sangat luas dan agak sukar dilakukan secara manual.

Kerja penilaian hartanah juga dipermudahkan apabila kawasan yang hendak dinilai terletak di kawasan berbukit-bukau atau terdedah kepada risiko dari segi keselamatan penilai yang akan menjalankan kerja penilaian tersebut.

Dalam menjalankan kerja-kerja pengurusan dan penyenggaraan bangunan terutama melibatkan bangunan tinggi seperti kondominium, apartmen, bangunan pejabat, hotel dan lain-lain akan dipermudahkan dengan penggunaan dron bagi memeriksa keadaan bumbung serta struktur luar bangunan.

Sebagaimana amalan biasa, kerja melibatkan pemeriksaan dan penyenggaraan bumbung bangunan akan dijalankan secara berkala dan adakala tindakan segera perlu dilaksanakan jika ada aduan melibatkan keadaan bumbung yang bocor atau rosak dilaporkan.

Disebabkan hartanah mempunyai skop sangat luas, tidak ketinggalan juga penggunaan dron banyak diaplikasikan terutama dalam bidang berkaitan hartanah pertanian yang dijadikan ladang untuk tanaman kelapa sawit, getah, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kebanyakan kerja pertanian dipermudahkan dengan penggunaan dron bagi kerja semburan baja terutama jika melibatkan kawasan ladang yang luas.

Penggunaan dron dianggap lebih cepat, ekonomi dan selamat untuk digunakan dalam pengendalian serta pengurusan projek pertanian.

Tidak ketinggalan juga, ejen hartanah turut memanfaatkan bidang teknologi dron bagi tujuan promosi dan pemasaran unit harta tanah terutama hartanah kediaman. Teknologi dron mampu mendapatkan imej lebih menyeluruh bagi unit kediaman tersebut termasuk dengan gambaran sebenar kawasan kejiranannya.

Dengan bantuan teknologi tersebut, secara tidak langsung akan memberikan kesan positif dan tambah nilai dalam menarik minat pembeli bagi unit kediaman yang ingin dipromosikan untuk tujuan pemasaran hartanah.

Selain itu, dengan adanya teknologi dron, beberapa penyelidikan dapat dikendalikan untuk melihat kesan bencana alam kepada nilai dan kerosakan yang berlaku pada struktur hartanah.

Apabila berlakunya bencana alam, agak sukar untuk penyelidik melihat dan memantau kawasan bencana bagi menentukan nilai dan kerosakan berdasarkan tempoh masa bencana tersebut.

Kebiasaannya, kesan bencana akan dapat dilihat setelah keadaan kembali reda seperti sediakala. Dengan bantuan dron, perkembangan bencana itu dapat dipantau dan kesan kerosakan kepada struktur bangunan dapat dilihat secara langsung serta analisis tempoh masa bencana dan keadaan kerosakan struktur bangunan dapat dinilai dengan cepat dan mudah.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi dron secara amnya memberikan banyak manfaat dalam bidang hartanah.

Penerokaan teknologi dron dan pembangunan bakat dalam kalangan mahasiswa, pensyarah serta pemain industri hartanah perlu dipertingkatkan bagi memastikan amalan penilaian dan pengurusan hartanah terus kekal relevan agar bidang hartanah dapat berdaya saing di Malaysia.

Selain itu, perkembangan teknologi itu juga memberikan impak positif dalam pembangunan kepakaran melibatkan bidang kerjaya dengan adanya adaptasi seni, sains dan teknologi menerusi amalan serta praktis penilaian dan pengurusan hartanah di Malaysia.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca