SHAH ALAM - Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) akan menemui ahli Parlimen dalam masa terdekat untuk membawa suara mereka di Dewan Rakyat berhubung bantahan cadangan membenarkan penjualan rokok elektronik dan vape bernikotin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) akan menemui ahli Parlimen dalam masa terdekat untuk membawa suara mereka di Dewan Rakyat berhubung bantahan cadangan membenarkan penjualan rokok elektronik dan vape bernikotin di negara ini.

Yang Dipertuanya, Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, ahli Parlimen yang berfungsi sebagai pemegang taruh boleh membuat tekanan dan gesaan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kewangan agar tidak meneruskan cadangan Bajet 2022 itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi beberapa pegawai ahli Parlimen bagi mendapatkan tarikh pertemuan yang sesuai supaya mereka dapat mendengar rasionalnya menolak cadangan tersebut.

"Kita mengharapkan kerajaan mendengar suara rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bidang profesional kesihatan dan perubatan ini kerana kita bercakap atas dasar saintifik serta statistik, bukan kepentingan kutipan cukai atau hasil.

"Kutipan cukai itu tidaklah sebesar mana yang boleh mendatangkan hasil berbanding komplikasi atau beban kerajaan untuk menampung komplikasi merokok dan vape ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu jelas bertentangan dengan komitmen kerajaan sebelum ini untuk menjadikan Malaysia negara bebas rokok menjelang tahun 2040.

Pada Sabtu, lebih 40 NGO badan profesional kesihatan dan perubatan serta masyarakat sivil berasaskan komuniti kecewa dan membantah cadangan kebenaran penjualan rokok elektronik serta vape bernikotin di negara ini.

NGO itu termasuk Ikram Health, Mythbusters Malaysia, Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch) serta Asthma Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca