SHAH ALAM - Tindakan kerajaan memperkenalkan duti eksais melibatkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin tidak selari dan merupakan langkah terkebelakang dengan komitmen menjadikan Malaysia bebas asap rokok pada 2045. Presiden Medical... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan memperkenalkan duti eksais melibatkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin tidak selari dan merupakan langkah terkebelakang dengan komitmen menjadikan Malaysia bebas asap rokok pada 2045.

Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, pengumuman kerajaan menerusi Bajet 2022 adalah langkah tidak mesra kepada kesihatan masyarakat.

"Kita akan mengambil langkah terkebelakang berbanding Singapura, Brunei dan Thailand yang mengharamkan nikotin atau cecair vape,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada tahun 2017, Kementerian Kesihatan Malaysia dilapor menyasarkan pengurangan jumlah perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 dan kurang lima peratus pada 2045 sejajar sasaran negara bebas asap rokok.

Bagaimanapun, kerajaan menerusi Bajet 2022 pada Jumaat bercadang memperkenalkan duti eksais melibatkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dr Ahmad Firdaus berkata, cadangan kerajaan memperkenalkan duti eksais itu menjadikan sasaran negara bebas asap rokok tidak akan tercapai.

"Walaupun ada segelintir produk vape dikatakan tidak mengandungi nikotin, tetapi industri sendiri menyatakan bahawa majoriti cecair vape yang dijual mengandungi nikotin.

"Nikotin itu sendiri menyebabkan ketagihan. Ia sesuatu yang bukan langkah terbaik jika kita nak sasarkan kepada kesihatan masyarakat. Dengan langkah tersebut, kita tidak akan menjaga masyarakat dan generasi akan datang mengelakkan ketagihan nikotin,” tegasnya.

Kata beliau, pihaknya risau jika vape dijadikan sebagai ‘pintu masuk’ alat kepada ketagihan lain.

Tegasnya, vape juga boleh menyebabkan kerosakan paru-paru.

"Kita sebenarnya seperti menghalalkan perkara yang sepatutnya tidak dihalalkan. Seperti rokok yang kita tahu, pada waktu dulu doktor mengatakan ia bagus tetapi selepas 20 hingga 30 tahun kajian, ia menyebabkan ketagihan dan kanser.

"Vape ini baru beberapa tahun. Jadi kita tidak tahu bahaya pada kemudian hari,” katanya.

Tegasnya, kerajaan juga digesa membatalkan cadangan duti eksais melibatkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin itu.

Klik di sini untuk terus membaca