SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan sikap sebenar Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang pernah memberikan kata dua terhadap PKR sewaktu hendak memutuskan penerimaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2016.
Menyifatkan kedua-dua parti itu hanya 'berani' berkokok di dalam mesyuarat PH, Rafizi turut menegaskan beliau dan rakan-rakan PKR dalam Majlis Presiden PH berkeras Bersatu hanya diterima sebagai sekutu pilihan raya dan bukannya anggota PH supaya keputusan PH tidak kacau bilau.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kepimpinan Amanah dan DAP yang berkeras mahukan Bersatu sebagai anggota PH dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah.
Lebih menarik, Rafizi menjelaskan kedua-dua parti itu menggunakan alasan kegagalan PKR untuk mendisiplinkan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu bersama-sama Pas sebagai asbab utama Bersatu perlu menjadi anggota tetap.
"Pada satu ketika, kata dua diberikan kalau PKR tetap berkeras, wajarlah PKR tidak lagi bersama PH kerana Amanah dan DAP sudah buat keputusan menerima Bersatu
"Demi mengekalkan PH, kami terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat.
"Itulah latar belakang kacau bilau. Perjanjian ke laut, strategi 'lonjakan yang dibawa Bersatu' juga ke laut sebab Bersatu melonjak katak," katanya melalui hantaran dalam laman Facebook miliknya pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian terkini PH terhadap empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Tiga lagi bekas ADUN yang bersama dengan Idris dan menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar pada 4 Oktober lalu adalah bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.
PH difahamkan sedang mempertimbangkan cadangan membenarkan mereka bertanding atas tiket PH, meskipun nama Norhizam Hassan ditolak, dipercayai atas tuntutan DAP.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mempertahankan tindakan PH 'membela' keempat-empat bekas ADUN itu dengan menganggap keputusan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri adalah satu 'pengorbanan' kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Rafizi turut meluahkan kekecewaan apabila alasan lebih kurang sama turut digunakan kepimpinan Amanah untuk 'menghalalkan' penyertaan bekas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka sebelum ini, ke dalam PH.
Jelas beliau, alasan Amanah adalah kononnya bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan tiga bekas ADUN yang bersamanya akan membawa 'lonjakan politik' pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
"Masalahnya mereka (Amanah dan DAP) berkokok di dalam mesyuarat PH kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama.
"Di luar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab di luar," katanya.
Justeru, Rafizi berpandangan sudah sampai masanya Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari mengambil tanggungjawab menyakinkan penyokong PH bahawa kemasukan 'katak-katak politik' ini akan memberi lonjakan politik yang boleh memenangkan PH di Melaka.
"Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH tapi tidak cukup berdegar-degar di luar.
"Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya 'kurang cerdik'," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca