SHAH ALAM - Pertembungan antara Pas dan UMNO dijangka masih akan berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini meskipun kedua-dua parti itu bersetuju untuk meneruskan persefahaman politik di bawah semangat Muafakat Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pertembungan antara Pas dan UMNO dijangka masih akan berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini meskipun kedua-dua parti itu bersetuju untuk meneruskan persefahaman politik di bawah semangat Muafakat Nasional (MN).

Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan terkini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan mahu meneruskan kerjasama tidak rasmi dengan Pas meskipun parti Melayu itu memberi bayangan mahu bergerak secara solo sebelum itu.

Jelas beliau, apa yang pasti adalah kerjasama UMNO-Pas pastinya bukan 100 peratus dan hanya melibatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap 'milik peribadi' parti masing-masing.

James Chin

"Pandangan saya adalah masih akan wujud pertembungan kerusi (DUN) di antara Pas dan UMNO dengan persefahaman dicapai hanya membabitkan beberapa kerusi 'milik peribadi' tertentu dan bukan keseluruhan PRN Melaka.

"Persefahaman untuk bekerjasama secara tidak rasmi itu bukan 100 peratus dan saya turut yakin Pas akan tegas mahu menggunakan lambang parti itu bagi menghadapi pilihan raya negeri kali ini," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini status kerjasama di antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama dengan Pas bagi menghadapi PRN Melaka.

Hal ini susulan Pas ketika ini secara rasmi menyertai koalisi Perikatan Nasional (PN) sekali pun menjalin hubungan dengan UMNO di bawah persefahaman MN.

Pada Khamis, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Pas di bawah semangat MN sekiranya parti itu memutuskan untuk menggunakan lambang pilihan raya parti sendiri bagi menghadapi PRN Melaka, 20 November ini.

Pendirian badan pembuat dasar tertinggi UMNO itu dikemukakan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas satu mesyuarat MKT parti diadakan pada 28 Oktober lalu.

Berikutan syarat ditetapkan UMNO itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya mengesyorkan semua parti yang mahu bekerjasama dengan parti itu supaya menggunakan lambang Pas iaitu 'bulan' bagi menghadapi PRN Melaka.

Terkini, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan PN masih belum membuat keputusan untuk menggunakan lambang pilihan raya apa dan akan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

PERANG PSIKOLOGI ANTARA PARTI

Mengulas lanjut, James turut menjelaskan keputusan UMNO mahu mengekalkan kerjasama Pas adalah disebabkan sasaran utama parti itu pada PRN Melaka hanyalah semata-mata mahu menghapuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendominasi PN.

Tambah beliau, UMNO juga dilihat cuba bermain psikologi apabila meletakkan syarat Pas perlu menggunakan lambang parti itu dan bukan PN, seolah-olah mahu melaga-lagakan parti Islam itu dengan Bersatu.

"Cuma saya berpandangan, permainan psikologi itu kurang memanfaatkan UMNO kerana Pas bukan sebuah parti yang kuat dan akan memberikan impak besar terhadap peluang kemenangan parti itu di Melaka.

"Manfaat sebenar yang boleh diperoleh UMNO adalah sekiranya Pas menarik sokongan daripada Bersatu serta-merta.

"Namun langkah itu dilihat sukar kerana Pas kini seolah-olah sudah terperangkap dengan pendirian politik yang mahu bermain dua kolam, iaitu menyokong Bersatu pada masa sama turut menyokong BN," katanya.

Keputusan PRU14 bagi 28 kerusi DUN Melaka menyaksikan UMNO hanya menang 13 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 15 kerusi, sekali gus melayakkan gabungan terbabit yang ketika itu diterajui Bersatu, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membentuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, kerajaan negeri ditadbir PH tumbang pada awal Mac 2020 selepas Bersatu membentuk gabungan baharu dengan Barisan Nasional (BN) Melaka.

Gabungan baharu ketika itu turut disertai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan bekas ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai wakil rakyat Bebas dalam PN.

Ia menjadikan BN mempunyai 13 ADUN, ditambah dua bekas ADUN Bersatu, iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani yang kemudian menyertai UMNO pada awal tahun ini dan Norhizam, sekali gus mempunyai sokongan majoriti ADUN.

Bagaimanapun, komposisi berubah selepas pembubaran DUN Melaka 4 Oktober lalu susulan tindakan dua bekas ADUN UMNO, iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), bersama Noor Effandi dan Norhizam menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

UMNO TIDAK BERANI TINGGAL PAS

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpandangan pendirian terkini UMNO terhadap Pas membuktikan parti Melayu itu tidak cukup berani untuk meninggalkan Pas pada PRN Melaka.

Mohd Yusri

Jelas beliau, pendirian itu adalah bertentangan dengan tanggapan UMNO terhadap Bersatu apabila parti itu dilihat tidak kisah untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

"Pengundi Pas tidak besar di (pilihan raya kecil) Parlimen Cameron Highland dan Semenyih, tetapi sokongan mereka membantu UMNO menang kedua-dua PRK tersebut.

"Pengundi Pas juga tidak besar di Melaka, tapi sokongan mereka berpotensi membantu UMNO merampas beberapa kerusi yang sebelumnya dimenangi PH.

"UMNO tidak kisah untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka ini, namun tidak cukup berani untuk meninggalkan Pas," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca