SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak sewajarnya menyalahkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam soal Pakatan Harapan (PH) menerima keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi pada tahun 2016.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, selaku bekas pemimpin yang pernah terlibat dalam Majlis Presiden PH, Rafizi yang juga bekas Naib Presiden PKR sewajarnya memahami keadah PH membuat sebarang keputusan adalah secara kolektif dan konsensus.
Jelas beliau, pendekatan sama juga diambil Majlis Presiden PH dalam memutuskan sama ada tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka jatuh bulan lalu, akan dibenarkan bertanding atas tiket PH atau tidak pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
"Tidak adil untuk kita menyalahkan sesiapa dalam kalangan PH yang bertindak menekan antara satu sama lain. Rafizi pun tahu dakwaan beliau tidak tepat.
"Sejak daripada awal mesyuarat Majlis Presiden PH, walaupun ada perbincangan membawa pertikaian, ketegangan dan tidak setuju antara satu sama lain, akhirnya kita akan membuat keputusan secara konsensus.
"Saya jangka Rafizi yang pernah berada dalam kepemimpinan PH pun tahu, tiada siapa yang membelakangkan (Pengerusi PH) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan beliau juga tidak pernah membelakangi sesiapa. Itulah semangat sebenar menyebabkan PH kukuh," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Rafizi yang mendedahkan 'belang' sebenar Amanah dan DAP yang pernah memberikan kata dua terhadap PKR sewaktu hendak memutuskan penerimaan Bersatu menyertai PH pada tahun 2016.
Menyifatkan kedua-dua parti itu hanya 'berani' berkokok di dalam mesyuarat PH, Rafizi turut menegaskan beliau dan rakan-rakan PKR dalam Majlis Presiden PH berkeras Bersatu hanya diterima sebagai sekutu pilihan raya dan bukannya anggota PH supaya keputusan PH tidak kacau bilau.
Mengulas lanjut, Rafizi turut meluahkan kekecewaan apabila alasan lebih kurang sama turut digunakan kepimpinan Amanah untuk 'menghalalkan' penyertaan bekas empat ADUN Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka sebelum ini, ke dalam PH.
Jelas beliau, alasan Amanah adalah kononnya bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan tiga bekas ADUN yang bersamanya akan membawa 'lonjakan politik' pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu turut menegaskan PRN Melaka sebenarnya membawa objektif lebih besar dan bukan sekadar hendak memutuskan nasib empat bekas ADUN UMNO, Bersatu dan bebas berkenaan sama ada akan bertanding tiket PH atau tidak.
Jelas beliau, semua pemimpin PH sepatutnya menfokuskan usaha mewujudkan kepemimpinan berkualiti yang mampu menawarkan kestabilan politik kepada rakyat Melaka, berbanding berbicara mengenai isu politik sensasi.
"Memandangkan PRN Melaka ini akan mempengaruhi corak politik tanah air, ada baiknya semua pihak tentukan keputusannya berdasarkan aspek polisi lawan polisi, bukan membesarkan perkara sensasi seperti nasib empat bekas ADUN berkenaan.
"Sama ada PH mahu mereka bertanding atas tiket PH, itu soal taktikal dan biarlah Majlis Presiden PH yang akan memutuskannya," katanya.KONTEKS BERBEZA
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan perbandingan dibuat Rafizi berkaitan isu kemasukan Bersatu ke dalam PH dengan isu kemasukan empat 'katak politik' ke dalam koalisi itu menjelang PRN Melaka, adalah berasaskan konteks berbeza.
Jelas beliau, sekiranya dakwaan Rafizi berkaitan isu kemasukan Bersatu ke dalam PH adalah benar, pemimpin PKR itu perlu menyedari konteks itu adalah berasaskan kemasukan parti ke dalam PH, berbanding penyertaan hanya empat ahli politik yang bebas.
"Kalau diikutkan, cerita Bersatu diterima masuk PH didedahkan Rafizi sebenarnya adalah perkara eksklusif yang tidak diketahui umum dengan saya percaya keputusan itu dibuat secara kolektif ketika itu.
"Tetapi kalau cerita itu hendak dikaitkan dengan kisah empat katak politik di Melaka mahu menyertai PH, konteksnya amat berbeza dengan Majlis Presiden PH pun masih belum memutuskannya lagi," katanya.
Jelas bekas Menteri Besar Perak itu, terdapat persoalan sama ada keempat-empat bekas ADUN Melaka berkenaan, benar-benar mahu menyertai parti-parti dalam PH atau sekadar meminta menggunakan logo koalisi itu untuk bertanding pilihan raya.
"Jadi mereka tidak menyatakan mahu diterima menjadi ahli parti PH. Mereka juga belum lagi buat keputusan hendak menyertai sama ada Amanah, DAP atau PKR.
"Cuma mereka mohon untuk pakai lambang PH bagi bertanding PRN. Keputusan pun PH belum buat lagi dan kalau mereka diterima sekali pun, mesti ada syarat-syarat ketat yang akan dikenakan," katanya.
Ditanya sama ada motif pendedahan Rafizi itu akan memberi implikasi tidak baik terhadap PH, Mohammad Nizar enggan melatah, sebaliknya berpandangan tindakan Rafizi itu mungkin mahu memberi peringatan kepada PH supaya lebih berhati-hati.
"Cuma barangkali dia terlupa konteks kemasukan Bersatu dalam PH dengan penyertaan empat katak politik menyertai PH adalah berbeza dan tidak boleh dikaitkan antara satu sama lain," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca