SHAH ALAM - Seorang pengamal undang-undang meminta Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan kesahihan pengeluaran nilai kompaun dikenakan kepada parti-parti yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Melaka ketika ini.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, persoalan itu penting untuk dijawab memandangkan kesemua ordinan darurat telah dibatal dan diungkaikan sebelum ini yang sekali gus memberi kesan terhadap akta-akta berkaitan khususnya nilai kompaun maksimum di bawah Akta 342.
Jelas beliau lagi, melalui penggubalan Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan 2021), beberapa penambahan dan pindaan telah dilakukan kepada Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Tambah Mohamed Haniff Khatri, antara pindaan yang dilakukan adalah nilai kompaun maksimum sebanyak RM1,000 di bawah peruntukan asal Akta 342 dinaikkan kepada RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 terhadap syarikat.
"Pada masa nilai kompaun maksimum dinaikkan melalui gubalan Ordinan Darurat, ia hanya berkuat kuasa semasa kewujudan proklamasi darurat bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021, dengan pindaan akta itu dilanjutkan di bawah Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan sehinggalah kesemua ordinan darurat dirungkai Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu.
"Hatta, melainkan Dewan Rakyat ditampilkan dengan mana-mana rang undang-undang baharu untuk meminda nilai kompaun maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 342.
"Maka jumlah nilai kompaun maksimum untuk mana-mana kesalahan pelanggaran SOP ketika fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sepatutnya kembali kepada nilai maksimum asal sebanyak RM1,000 sahaja," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan mengenakan kompaun bernilai RM10,000 kepada parti Barisan Nasional (BN); Parti Keadilan Rakyat (RM10,000) dan Ikatan Demokratik Muda (RM4,000) atas kesalahan melanggar SOP ketat PRN yang diperkenalkan KKM.
Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan kompaun terhadap parti-parti mereka adalah bersifat berat sebelah.
Hal ini susulan KKM tidak mengenakan tindakan kompaun yang sama terhadap Perikatan Nasional (PN) yang turut mengadakan program seakan-akan kempen politik sebelum itu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan kerajaan memperkenalkan SOP PRN Melaka yang ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19.
SOP ketat berkenaan termasuklah larangan parti-parti politik mengadakan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya sepanjang berlangsungnya PRN Melaka bermula 25 Oktober lalu.
Mohamed Haniff Khatri berkata, beliau mengalu-alukan pengumuman pelaksanaan SOP PRN Melaka yang ketat terhadap kesemua pihak tanpa layanan dua darjat serta berpandukan konsep kedaulatan undang-undang.
Ujarnya, walaupun SOP PRN Melaka pada dasarnya dilaksanakan secara ketat tanpa mengambil kira kepentingan mana-mana pihak, tetapi isu kesahihan nilai kompaun maksimum dikenakan terhadap parti-parti yang melanggar SOP perlu dihuraikan secara terperinci.
"Ia perlu diperjelaskan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun supaya tidak muncul pelaksanaan perundangan bercanggah dengan akta dan kedaulatan undang-undang.
"Dengan nilai kompaun maksimum langgar SOP KKM kembali menjadi RM1,000, KKM dan polis juga perlu mengambil tanggungjawab untuk memberi penjelasan isu ini secara tuntas kepada semua pegawai penguatkuasa supaya tiada kekeliruan tidak wajar yang timbul," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca