SHAH ALAM - Pas menamatkan teka-teki penggunaan lambang pilihan raya apabila meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November hadapan.Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Pas menamatkan teka-teki penggunaan lambang pilihan raya apabila meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat pada Isnin di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketetapan itu mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada 31 Oktober lalu.

"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung pada 1 November 2021 di Pejabat Agung Pas Pusat telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

"Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulamak Pas yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.

Berikutan keputusan Pas itu, ramai pemerhati politik berpandangan keputusan itu bakal memberi tamparan hebat kepada satu lagi rakan sekutu parti itu iaitu UMNO.

Hal ini susulan UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas di bawah semangat Muafakat Nasional (MN), dengan syarat Pas menggunakan lambang parti sendiri.

Tidak selesa dengan syarat diletakkan UMNO, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya mencadangkan semua parti yang mahu bekerjasama dengan Pas agar menggunakan lambang parti itu iaitu 'bulan'.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan parti-parti di bawah koalisi itu bersetuju menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, kenyataan Muhyiddin itu tidak menerima respons baik daripada pemimpin tertinggi Pas dengan Ketua Dewan Ulamak parti itu, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menggesa perkara itu ditentukan melalui Dewan Syura Ulamak terlebih dahulu.

Apa yang pasti, keputusan terkini Pas pastinya memberikan suntikan moral kepada PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.

Ia disebabkan Bersatu dan PN menerima tekanan yang hebat daripada seteru politik, UMNO yang enggan bekerjasama dengan mereka meskipun bersama-sama berkongsi kuasa dalam kerajaan negeri dan Pusat.

Sama ada keputusan Pas ini akan memberi implikasi besar terhadap usaha perundingan parti-parti kerajaan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru bagi menghadapi PRN Melaka kelak. Klik di sini untuk terus membaca