SHAH ALAM - Pendakwa syarie dan penguat kuasa agama di negara ini didapati masih tidak mencukupi bagi mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang semakin kompleks pada masa kini. Difahamkan, antara negeri-negeri yang didapati mengalami... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pendakwa syarie dan penguat kuasa agama di negara ini didapati masih tidak mencukupi bagi mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang semakin kompleks pada masa kini.

Difahamkan, antara negeri-negeri yang didapati mengalami kekurangan jawatan tersebut ialah Pahang, Perak dan Sarawak.

Kedua-dua jawatan yang penting dalam menegakkan perundangan syariah di negara ini sangat penting kerana kes-kes ajaran sesat seperti Qadiani, Ayah Pin, Rasul Melayu, Tuhan Harun dan penyebaran ajaran yang tidak berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah didapati semakin kerap berlaku.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kedua-dua badan sokongan syariah itu juga didapati mengalami kekurangan dari sudut kakitangan, latihan, pendedahan dan operasi sehingga sukar untuk bergerak.

"Kedua-dua badan sokongan ini amat penting kerana pendakwa syarie adalah orang yang bertanggungjawab untuk mendakwa orang yang disyaki melakukan kesalahan di sesebuah negeri, manakala penguat kuasa agama adalah orang yang menyiasat dan mengumpulkan bukti bagi mendakwa orang yang melakukan kesalahan.

"Bilangan mereka yang terlalu sedikit bagi melaksanakan kes-kes jenayah syariah amat menyedihkan terutama di negeri yang mempunyai saiz besar seperti Sarawak, Pahang dan Perak.

"Ia memberi kesan terutama apabila hendak menguruskan kes-kes yang rumit. Kita tidak mahu kredibiliti pendakwa syarie dan penguat kuasa agama di negara ini dipertikaikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Zainul Rijal turut mengharapkan kedua-dua badan sokongan syariah itu diwujudkan di peringkat kebangsaan.

Penguat kuasa agama yang di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri didakwa menyukarkan mereka untuk melaksanakan siasatan dengan lebih bebas.

"Untuk pendakwa syarie ini, beberapa negeri sudah mempunyai jabatan di peringkat negeri. Bagaimanapun, majoriti jabatan pendakwaan syarie ini adalah pegawai dan kakitangan daripada mahkamah syariah dan masih lagi tidak bebas sepenuhnya.

"Apa yang saya tahu, kelulusan dulu adalah untuk mewujudkannya di peringkat kebangsaan tetapi ketika ini hanya dibuat di peringkat wilayah sahaja. Jadi, bagaimana hendak membuat penyeragaman atau latihan bersama sekiranya terdapat 14 jabatan pendakwaan syarie itu,” katanya.

Katanya, penguat kuasa agama juga masih di bawah jabatan agama Islam negeri yang menyukarkan mereka untuk melaksanakan siasatan dengan lebih bebas.

"Bagaimana mereka hendak bebas dan siasat dengan adil sekiranya masih tertakluk dengan jabatan lain. Majikan mereka masih jabatan agama, jadi penguat kuasa agama ini masih tidak bebas dan tertakluk kepada arahan jabatan agama.

"Sedangkan penguat kuasa agama ini jika dibandingkan dengan sivil, mereka ini seperti polis. Sepatutnya sudah ada jabatan sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberikan cadangan agar penubuhan kedua-dua badan sokongan itu menggunakan model kerangka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

"Namun rundingan dengan negeri perlu dilakukan untuk mengelakkan salah faham dengan penubuhan di peringkat kebangsaan mengambil bidang kuasa negeri,” kata beliau.

SUSUN SEMULA BADAN SYARIAH

Kerajaan perlu menyusun semula peranan badan sokongan syariah seperti pendakwa syarie dan penguat kuasa agama seiring dengan perkembangan semasa.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, cabaran ketika ini lebih besar apabila kes-kes jenayah yang dirujuk ke mahkamah syariah dilihat semakin kompleks.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula aspek membabitkan badan sokongan perundangan syariah bagi meletakkan sistem perundangan berada pada tempat sewajarnya.

"Dari segi bilangan penguat kuasa agama di negeri-negeri dan mengikut nisbah kepada cabaran, memang tidak sepadan dan jumlah anggota perlu ditambah.

"Dari sudut kemahiran dan pendedahan latihan juga perlu dipertingkatkan dan diperkasakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Najmi berkata, beliau berpandangan bahawa mahkamah syariah perlu diletakkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri dalam urusan mengendalikan hal ehwal orang-orang Islam.

"Kedudukan mahkamah ini sering dicabar oleh sesetengah pihak dan saya melihat perkara ini juga seharusnya perlu diberikan penekanan oleh kerajaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca