SEKTOR perindustrian telah mengaut keuntungan besar hasil aktiviti mereka, namun kelestarian alam sekitar merosot hasil daripada pelbagai pencemaran dan bahan buangan berbahaya. Paling membimbangkan, masih terdapat majikan dan pemilik... Klik di sini untuk terus membaca

SEKTOR perindustrian telah mengaut keuntungan besar hasil aktiviti mereka, namun kelestarian alam sekitar merosot hasil daripada pelbagai pencemaran dan bahan buangan berbahaya.

Paling membimbangkan, masih terdapat majikan dan pemilik kilang yang memilih membuang sisa toksik secara haram atas alasan kos mahal dan proses lama untuk merawat sisa kimia sebelum boleh dilepaskan.

Sisa toksik adalah bahan buangan mengandungi sifat fizikal, kimia atau biologi berbahaya kepada manusia serta alam sekitar. Ia boleh berlaku sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.

Terdapat pelbagai kesan negatif akibat pengurusan dan pengendalian sisa toksik tidak terancang atau tidak sistematik. Pembuangan sisa toksik tidak terawat berisiko menghasilkan tindak balas kimia seperti kebakaran dan letupan, sekali gus mengancam persekitaran, nyawa manusia dan hidupan lain.

Imej satelit secara berkala oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapati penggunaan teknologi cerapan satelit dan dron khas berjaya mengesan 4,884 tapak di seluruh negara yang mempunyai tanda-tanda dijadikan tempat pelupusan bahan buangan secara haram termasuk sisa toksik. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,298 tapak dikesan di Selangor, Perak (485) dan Sarawak (183).

Kecenderungan aktiviti pelupusan sisa haram menyasarkan kawasan sekitar radius lima kilometer (km) dari kawasan punca atau sumber. Modus operandi turut melibatkan industri mengupah orang dan antara kawasan paling digemari adalah yang mempunyai akses, jauh daripada orang dan perbuatan itu dilakukan dalam keadaan ‘pantas’.

Pihak berkenaan juga akan mencari kawasan, yang mana sisa toksik boleh dicampurkan atau ditimbunkan dengan sampah biasa atau sampah domestik bagi mengaburi orang ramai seperti berlaku di Sungai Kim Kim, Johor.

Sisa tersebut turut dilupuskan di tapak pembuangan sisa pepejal konvensional di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan (PBT). Pada 2020 misalnya, lebih 1,000 tong dram dan beg dipercayai mengandungi sisa toksik berbahaya ditemui di tapak pembuangan haram di Johan Setia, Selangor.

Lebih buruk lagi, kedudukan kebanyakan kawasan pembuangan sisa haram dikesan berdekatan sumber air seperti sungai. Akibatnya sisa kimia berbahaya meresapi tanah dan terus mengalir ke sumber air seperti sungai atau laut sehingga menjejaskan ekosistem serta kesihatan manusia.

Pada Oktober 2020 misalnya, bahan buangan haram dan bahan sebatian organik tersisa dikenal pasti punca kepada pencemaran di Sungai Semenyih dan Sungai Langat sehingga menjejaskan bekalan air kepada rakyat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu lebih proaktif dan berupaya mengesan pemilik kilang yang melepaskan sisa berbahaya tidak dirawat khususnya ke sungai kerana mereka memiliki sistem khas latar belakang syarikat termasuk bahan diproses di kilang kerana ia syarat utama sebelum dibenarkan beroperasi.

Cuma yang sukar dikawal adalah kewujudan kilang haram kerana ketiadaan maklumat mengenai operasi mereka. Justeru, penggunaan teknologi seperti dron taktikal amat penting bagi membolehkan gerak-geri pihak pencemar mudah dibaca dan dijejaki.

Pengusaha industri harus lebih bertanggungjawab atau bersedia berdepan hukuman paling maksimum. Isu ini hanya boleh selesai jika pihak berkenaan dikenakan hukuman penjara dan dipaksa membayar kos membersihkan ‘bencana’ hasil perbuatan jenayah mereka.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca