BARU-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa ‘teras dalam konteks diplomasi ketenteraan amat bernilai, lebih bernilai daripada aset-aset ketenteraan yang bernilai berbilion ringgit’.
Kenyataan itu pendek dan padat, namun dari segi pemikiran strategik pertahanan negara, ia mengundang pelbagai tafsiran, persoalan dan mungkin salah tanggapan.
Diplomasi ketenteraan atau mungkin lebih tepat diplomasi pertahanan bukanlah satu istilah baharu, malah pada 2019 apabila Kementerian Pertahanan mengeluarkan Kertas Putih Pertahanan, perkara itu turut disentuh.
Tonggak pertahanan ketiga yang dinyatakan dalam dokumen tersebut, ‘Perkongsian Berwibawa’ bertujuan memperkukuh dan memperluas kerjasama pertahanan secara dua hala dengan negara-negara sahabat atau rakan luar. Hakikatnya, ia adalah aspek utama diplomasi pertahanan yang sekian lama diguna pakai oleh negara sejak zaman kemerdekaan. Umpamanya, Persekutuan Tanah Melayu telah membentuk AMDA (Anglo-Malayan Defense Agreement) bersama United Kingdom, yang kemudiannya ditukar kepada Peraturan Pertahanan Lima negara (FPDA) pada 1971, selain mewujudkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN, begitu juga dasar berkecuali negara-negara ASEAN.
Kesemua itu mempunyai hubungan langsung dengan diplomasi pertahanan negara. Mungkin umum kurang tahu mengenai apakah dimaksudkan diplomasi ketenteraan atau pertahanan. Secara ilmiah terdapat lima fungsi asas angkatan tentera sesebuah negara melaksanakan dasar diplomasi ketenteraan.
Lima fungsi itu adalah mengumpul dan menganalisis maklumat berkaitan pasukan tentera serta keadaan keselamatan, mempromosi kerjasama, komunikasi dan hubungan antara angkatan tentera, menganjur dan mengekalkan hubungan rasmi antara pegawai ketenteraan, menyokong eksport senjata dan kelengkapan dan akhir sekali mewakili negara serta angkatan tentera dalam upacara rasmi atau setara dengannya.
SERAMPANG DUA MATA
Jika diambil dari sudut hubungan politik dua hala antara negara, ia dilihat sebagai dasar mempromosi dasar keterbukaan yang dapat mengukuh jalinan persahabatan, mengelak salah faham, menjamin keselamatan dan mencegah konflik.
Namun dari konteks strategi, ia sebenarnya tidak lebih daripada usaha sebuah organisasi ketenteraan yang menggunakan pendekatan serampang dua mata bagi mencapai objektif utamanya iaitu pengumpulan data berkaitan dasar dan kemampuan ketenteraan negara lain. Ibarat kata pepatah Melayu, sambil menyelam minum air.
Mungkin ada pihak berpendapat dasar itu akan ‘menyelamatkan’ negara daripada terjebak dengan konflik bersama negara jiran, serantau atau kuasa dunia, seterusnya mengelak dikuasai oleh kuasa asing akibat peperangan.
Salah satu negara di rantau ini yang kerap dikaitkan dengan kejayaan itu ialah Thailand. Kebijakan kepimpinan mereka termasuk dalam menggunakan ‘diplomasi ketenteraan’ dikatakan telah berjaya menjadikan ia tidak ditakluki mana-mana kuasa besar. Ia sebenarnya hanya persepsi mengelirukan.
Contohnya, menjelang Perang Dunia Kedua, Thailand yang sedaya upaya menggunakan diplomasi ketenteraan untuk mengelak dikuasai pihak lain telah terjebak dalam permainan politik kuasa besar ketika itu termasuk Jepun, British, Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman.
Pada 8 Disember 1941, setelah berlaku pertempuran kecil antara tentera Jepun dan Thailand, negara Gajah Putih itu bersetuju membenarkan tentera Jepun memasuki sempadannya dan menyerang Burma serta Malaya.
Beberapa hari kemudian, ia telah menandatangani perjanjian pakatan persefahaman yang membenarkan tentera Jepun akses penuh kepada kelengkapan dan senjata tentera Thailand, penggunaan landasan kereta api, jalan raya, lapangan terbang, pangkalan tentera laut, gudang, sistem komunikasi, malah berek-berek tentera mereka!
Kenyataan bahawa diplomasi ketenteraan adalah ‘lebih bernilai daripada aset-aset ketenteraan yang bernilai berbilion ringgit’ boleh dianggap sebagai keterlaluan dan seakan memperlekeh kemampuan serta semangat juang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Apabila menyentuh tentang aset, ia merangkumi bukan sahaja kereta kebal, kapal perang dan pesawat udara, tetapi juga sumber manusia.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca