SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan Jabatan Pendakwa Syarie Negara bagi memperkasakan peranan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama, seterusnya memperhebatkan lagi fungsi institusi syariah di negara ini. Presiden Pertubuhan Pengamal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan Jabatan Pendakwa Syarie Negara bagi memperkasakan peranan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama, seterusnya memperhebatkan lagi fungsi institusi syariah di negara ini.

Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Noorazmir Zakaria berkata, dengan inisiatif tersebut, Jabatan Pendakwa Syarie Negara akan berfungsi setaraf dengan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, dalam kata lain jawatan Ketua Pendakwa Syarie juga akan setaraf dengan Peguam Negara.

"Usaha ini akan membolehkan Jabatan Pendakwa Syarie Negara menerima bajet khusus daripada kerajaan.

"Masalah institusi syariah di Malaysia ketika ini adalah disebabkan kekurangan bajet. Badan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama terletak di bawah negeri dan bajet pula terhad,” katanya pada Isnin.

Noorazmir berkata, penubuhan Jabatan Pendakwa Syarie Negara itu akan memberi kesan rantaian kepada keseluruhan sistem institusi syariah negara.

"Apabila tertubuhnya di peringkat Persekutuan, ia akan memperluaskan penjawatannya kerana ramai boleh naik pangkat, jawatan semakin banyak dan memberikan motivasi kepada mereka yang terlibat dalam institusi agama dan syariah.

"Apa yang kita lihat sekarang, mana- mana jabatan agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perjawatannya tak boleh berkembang. Yang berjawatan rendah tidak naik dan yang atas pula perlu menunggu orang atasannya pencen, baru boleh naik,” ujarnya.

Kata beliau, kewujudan Jabatan Pendakwa Syarie Negara akan meluaskan lagi kepakaran institusi syariah negara.

"Sekarang ini kepakaran yang dimiliki terhad sedangkan ia sangat diperlukan sekiranya satu hari nanti kita mahu mencapai satu tahap untuk melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya.

"Contohnya untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penzina, mungkin hukuman lebih 100 rotan dan sebagainya. Perkara itu perlu diselesaikan dari segi kepakaran dahulu,” jelas beliau.

Katanya, dengan penubuhan Jabatan Pendakwa Syarie Negara, dengan sendiri akan wujud jabatan-jabatan khas di bawahnya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI).

Justeru katanya, penubuhan institusi itu akan membuka ruang untuk mewujudkan jabatan-jabatan yang memerlukan kepakaran termasuk bahagian penyiasatan jenayah syariah dari segi makmal siasatan yang sebelum ini bidang tugasnya hanya diserahkan kepada polis.

Berdasarkan faktor itu, katanya, pemusatan bidang tugas pendakwa syarie di bawah Persekutuan sangat penting dan ia perlu dibuat dengan kerjasama negeri sebagaimana proses penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

"Kalau kita setuju sistem kehakiman syariah menubuhkan JKSM, kenapa tidak Jabatan Pendakwa Syarie Negara pun kita wujudkan? Tapi ia perlu dibuat secara proaktif,” katanya.

Ujar beliau, usaha ke arah penubuhan Jabatan Pendakwa Syarie Negara pernah dilakukan ketika pentadbiran Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang ketika itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Namun, selepas pertukaran kerajaan, perkembangan usaha itu tidak diketahui statusnya ketika ini.

"Sepatutnya tak boleh terhenti walaupun berlaku pertukaran kerajaan,” katanya.

PAHANG TAMBAH BAIK AGENSI PENGUATKUASAAN

Agensi penguatkuasaan di Pahang akan ditambah baik dengan memberi kuasa dan peranan yang lebih besar dalam mengendalikan kes syariah di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kaedah itu dapat membantu mempercepatkan pengendalian sesuatu kes dengan lebih berkesan.

"Pahang sudah lama melaksanakan pengasingan kuasa terhadap dua agensi penguatkuasaan agama dan pendakwa syarie. Dua agensi ini sudah mampu berdikari dengan kuasa yang telah diberikan untuk melakukan tugas dan peranan mereka.

"Kita kini dalam proses menambah baik agensi ini dengan menambah bilangan pekerja bagi memastikan kelancaran tugasan membabitkan pelbagai isu agama,” katanya.

Beliau menjelaskan, setakat ini seramai 52 orang bekerja di bawah Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang manakala Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melibatkan 48 petugas.

"Bagaimanapun pengisian jawatan ini masih belum mencukupi dan akan ada penambahan perjawatan itu dari masa ke masa,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca