KONSEP Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menerajui tampuk kerajaan bukan sahaja bersifat inklusif, malah begitu dekat di hati rakyat kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
Konsep yang menggariskan tiga teras utama iaitu iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment) itu dilancarkan secara rasmi di Bandar Perpaduan, Kuching baru-baru ini.
Visi 'Keluarga Malaysia' ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang kalis cabaran masa hadapan berlandaskan 'Keberhasilan Kebahagiaan'.
Selaras dengan situasi semasa, ia turut menggariskan hala tuju strategik iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat Covid-19.
Sejak diilhamkan dalam ucapan sulung Perdana Menteri pada 22 Ogos, kerajaan tidak menunggu lama bagi memastikan pelbagai program bersifat ‘actionable’ dapat dilaksanakan dan memberi limpahan manfaat kepada seluruh rakyat.
Antaranya, Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.
Malah setiap kementerian juga akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, siapa sangka dalam abad ini senjata bukan lagi menjadi benteng pertahanan menentang musuh, sebaliknya kemanusiaan dan nilai keluarga menjadi perisai kita.
"Di sebalik kepayahan pandemik, inilah semangat yang menyatukan Keluarga Malaysia, umpama batang manau seribu kali embat pasti tak putus. Lantaran itu, Keluarga Malaysia adalah manifestasi paling andal untuk kita memulihkan negara,” katanya.
Malah, Keluarga Malaysia turut mendapat perhatian Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyifatkan pendekatannya mudah diterima kerana mengetengahkan unsur kekeluargaan yang sangat dekat di hati rakyat.
Malah baginda turut menitahkan kepada semua rakyat untuk terus menghayati konsep tersebut dan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.
Baginda bertitah, konsep keluarga bukanlah asing kerana sedia berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa, serta menyifatkan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri ialah sebuah keluarga besar.
TUDUHAN COPY PASTE
Ironinya, apabila Keluarga Malaysia semakin diterima rakyat, ada pula pihak mendakwa konsep dibawa Perdana Menteri ini adalah hasil ‘copy and paste’ idea Deklarasi Keluarga Malaysia dilancarkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Walaupun nama hampir sama tapi konsep kedua-duanya sangat jauh berbeza. Deklarasi Keluarga Malaysia oleh Wan Azizah meletakkan 'unit keluarga rumah tangga' sebagai keutamaan dalam segala perancangan dan tindakan.
Deklarasi Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2019 itu juga sebenarnya kesinambungan Dasar Keluarga Negara dilancarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) seawal tahun 2010, namun sekadar deklarasi kerana tidak diimplimentasikan.
Deklarasi Keluarga Malaysia juga tidak mempunyai visi dan misi yang jelas.
Ini berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia sebagai dasar perpaduan negara untuk menghadapi cabaran krisis berkembar dan mencapai status Malaysia negara maju serta berpendapatan tinggi.
Keluarga Malaysia bukan retorik atau slogan semata-mata sebaliknya semangat diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara yang mengetengahkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.
Oleh itu, tidak timbul isu siapa ciplak siapa dalam isu ini. Malah pendekatan Keluarga Malaysia memang sejajar dengan tuntutan kebersamaan semua pihak dalam menghadapi situasi semasa negara.
Rakyat perlu yakin bahawa mereka mempunyai tempat dalam keluarga besar Keluarga Malaysia.
Justeru, tanggungjawab kita untuk sama-sama menghargai persamaan, bukan perbezaan agar kita mampu membina semula negara Malaysia yang lebih cemerlang dan gemilang selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.
* Hafez Shuriddin ialah Presiden Majlis Belia Selangor
Klik di sini untuk terus membaca