SEJAK lebih sepuluh tahun lalu, ramai warga Indonesia sanggup menyelam ke dasar Sungai Musi di Palembang semata-mata untuk mencari artifak termasuk barangan perhiasan emas ketika zaman Empayar Sriwijaya.
Antara barangan yang telah ditemui itu ialah batu-batu permata, cincin-cincin perhiasan emas untuk upacara, duit-duit syiling, loceng-loceng sami Buddha, timah, dayung perahu, piring mangkuk, tombak, patung Buddha, barangan seramik, perak dan gangsa. Ironinya sungai tersebut juga didiami oleh reptilia berbahaya iaitu buaya.
Terdapat barangan perhiasan emas ketika zaman pemerintahan kerajaan Sriwiyaya yang beragama Buddha ditemui di dasar sungai itu dan jika dijual kepada para pengumpul barangan ia boleh mencecah sehingga jutaan rupiah.
Ribuan keping duit syiling yang ditemui itu adalah daripada peninggalan Dinasti Ming, Song dan Qing serta dari zaman peninggalan Belanda selain duit syiling timah dipercayai peninggalan zaman Kesultanan Palembang Darussalam.
Sebahagian barangan itu dijual kepada pengumpul barangan purba yang memberikan pulangan lumayan tetapi ada juga yang sanggup menyimpannya sebagai koleksi dan simpanan peribadi sehingga rumah tempat menyimpan artifak tersebut dijadikan 'muzium'.
Kesemua barangan itu telah wujud ketika tamadun Sriwijaya yang berkuasa pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi tetapi punca yang menyebabkan keruntuhan empayar tersebut pada abad ke-14 masih lagi menjadi secara misteri.
Ramai penyelam tanpa mengira siang dan malam sanggup menyelam beberapa jam pada kedalaman sehingga 40 meter dan meraba-raba dasar sungai tersebut untuk mencari artifak-artifak berharga kerana ia tidak mempunyai jarak penglihatan.
SELAMAN DI SUNGAI MUSI
Penemuan banyak artifak berharga yang diperbuat daripada emas, perak dan gangsa itu turut diakui oleh Pengurus Muzium Negeri Provinsi Sumatera di Palembang, Chandra Amprayadi baru-baru ini yang menyatakan ia ditemui akibat kegiatan selaman di dasar Sungai Musi.
Seorang penyelam di Sungai Musi dan mahu dikenali sebagai Wisnu berkata, beliau melakukan selaman kerana barangan yang ditemuinya di dasar sungai tersebut sememangnya dinanti-nantikan oleh calon pembeli.
Pelbagai barangan yang sudah ditemuinya daripada barangan besi, seramik, tembikar, tanah liat, cincin perhiasan emas, perak, tembaga dan loyang sejak beliau melakukan selaman di dasar sungai tersebut.
Wisnu yang sudah 12 tahun menjadi penyelam berkata, cincin perhiasan emas yang telah ditemuinya dijualnya mengikut berat iaitu satu gram emas bersamaan dengan satu juta rupiah (RM291) dan sebuah mangkuk besar pula pernah dijual pada harga 75 juta rupiah (RM21,827) manakala cincin perak serta loyang pula dibeli antara 200,000 rupiah (RM58) sehingga 500,000 rupiah (RM145).
Menurut portal berita Suara.com pada Jumaat lalu, sudah menjadi kebiasaan, Wisnu akan menyelam sedalam 35 meter bagi mencari harta karun selama lima hari dalam satu minggu manakala beliau akan melihat arus sungai dan keadaan cuaca sebelum melakukan selaman.
Wisnu yang mempunyai satu kumpulan yang terdiri daripada tujuh anggota penyelam berkata, ramai pengumpul barangan sanggup datang ke rumahnya untuk membeli barang-barang lama itu kerana beliau sudah berpengalaman menjadi penyelam selama 12 tahun manakala media sosial akan menjadi tempat jualan jika tiada pembeli barangan tersebut di alam nyata.
BERTARUNG NYAWA
Dalam pada itu, seorang penyelam yang hanya mahu dikenali sebagai FJ berkata kepada portal detik.news baru-baru ini bahawa masa sekitar satu jam diperlukan untuk mencari syiling perhiasan emas dan pekerjaan yang dilakukan itu adalah sesuatu yang berbahaya.
Menurutnya, para penyelam perlu bertarung nyawa dan dengan menggunakan alat menyedut udara yang kerap digunakan untuk kerja-kerja penampalan tayar sebelum mereka menyelam ke dalam dasar sungai.
Sejak tujuh tahun melakukan pekerjaan tersebut, pendapatan yang diperolehnya tidak menentu tetapi ia boleh menghasilkan pulangan sehingga 300,000 rupiah (RM87) sehari.
Beberapa buah kapal diperbuat daripada kayu dan telah diubah suai pula digunakan untuk mencari harta karun di tengah Sungai Musi iaitu di kawasan Pulau Kemaro, Palembang Sumatera Selatan yang pada kebiasaannya setiap sebuah kapal membawa sehingga enam orang kru.
Menurut portal berita Kompas.com., dua anak kapal itu akan bertugas menyedut pasir dengan menggunakan mesin manakala seorang penyelam pula menyelam pada kedalaman 17 hingga 30 meter dengan dilengkapi alat menyedut udara ke dalam sungai tersebut.
Pulau Kemaro terletak kira-kira sembilan kilometer dari ibu kota Palembang, Sumatera Selatan dan menurut portal Suara Ternate.com. pada Ahad lalu, seorang penyelam yang bernama Budiman sudah menjadi penyelam sejak empat tahun lalu dengan mengikut jejak bapanya menjadi pencari harta karun sejak tahun 2009.
Budiman dan rakan-rakanya berjaya memperoleh banyak harta karun antaranya, duit syiling, logam, perhiasan emas, tombak, mangkuk, piring dan seramik dengan menggunakan sebuah bot sewaan tetapi menyelam dengan menggunakan peralatan selaman di dasar sungai bukannya urusan mudah.
Ini adalah disebabkan arus deras di dasar sungai dan pemandangan pula adalah gelap selain tidak dapat diterangi dengan lampu suluh manakala suhunya sejuk mengakibatkan Budiman hanya meraba-raba untuk mencari harta karun sekali gus menyebabkan jika penemuannya itu kecil, ia akan dimasukkan ke dalam poket seluar.
Namun, jika penemuannya besar, barangan tersebut akam diikatkan pada tubuhmya dan menurut Budiman pendapatan tertinggi hasil jualan harta karun itu boleh mencecah sehingga 10 juta rupiah (RM702.81).
Menurut seorang pegawai kebudayaan Palembang, Rudi Indrawan, isu pencarian harta karun di Sungai Musi sudah lama berlaku tetapi menjadi perhatian beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh penemuan patung Buddha dan perhiasan emas serta permata.
Bagaimanapun, katanya, barangan-barangan yang ditemui di dasar sungai tersebut dijual pada harga tidak sepadan dengan nilai sejarah yang terdapat pada barang-barang lama itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca