SHAH ALAM - UMNO menghormati pendirian Pas yang mahu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November hadapan. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Armand Azha... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO menghormati pendirian Pas yang mahu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November hadapan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, tiada keperluan untuk UMNO mencampuri urusan dalaman Pas dalam menentukan lambang pilihan raya akan digunakan parti itu, lebih-lebih lagi Pas secara rasmi merupakan parti komponen PN.

Armand Azha

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara paling penting yang perlu dicapai antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan parti-parti dalam kerajaan termasuk Pas ketika ini adalah memastikan rundingan kerusi pilihan raya terus berjalan dengan lancar.

"Kita kena faham, Pas merupakan komponen rasmi PN, terpulanglah kepada parti itu sama ada hendak guna lambang pilihan raya apa untuk hadapi PRN Melaka. UMNO tidak perlu campuri urusan parti itu.

"Yang penting, sebagai rakan kerjasama di peringkat Pusat, UMNO dan Pas masih dalam proses perbincangan untuk diadakan persefahaman politik antara parti-parti dalam kerajaan.

"Perkara ini sangat mustahak sebenarnya kerana kita tidak mahu ada pertindihan kerusi dan pertembungan sesama parti kerajaan pada PRN Melaka. Kena ingat, agenda utama BN adalah memastikan Pakatan Harapan (PH) tiada peluang mengambil alih semula negeri Melaka," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian setelah Pas menamatkan teka-teki penggunaan lambang pilihan raya apabila meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka pada 20 November hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat pada Isnin di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketetapan itu mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada 31 Oktober lalu.

Berikutan itu, ramai berpendapat keputusan itu memberi tamparan hebat kepada UMNO memandangkan MKT parti itu pada Khamis lalu memutuskan sebarang kerjasama dengan Pas pada PRN Melaka adalah berasaskan syarat parti masing-masing perlu menggunakan lambang parti sendiri.

Mengulas lanjut, Armand Azha turut menyakini keputusan Pas itu juga tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dengan UMNO melalui semangat Muafakat Nasional (MN) untuk tempoh jangka masa pendek.

Pandangan itu diutarakan Ahli Dewan Negara itu susulan hubungan persefahaman di antara parti-parti di peringkat kerajaan Pusat memastikan sebarang keputusan dibuat kedua-dua parti itu masih perlu berasaskan konsep 'menang-menang'.

"UMNO dan BN mempunyai strategi jangka masa pendek dan panjang. Untuk jangka masa pendek, kita tidak mahu berlaku sebarang pertembungan lebih dua penjuru pada PRN Melaka.

"Jadi, bila Pas putuskan guna lambang PN, kita tidak boleh cepat melatah, sebaliknya teruskan permuafakatan MN kerana UMNO ada persefahaman dengan semua parti-parti kerajaan di peringkat Pusat," katanya.

Bagaimanapun, Armand Azha menegaskan untuk strategi jangka masa panjang, UMNO akan meneliti semula gerak kerja dan perancangan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Ketika itu, sama ada kerjasama MN akan diteruskan atau tidak , kita serahkan kepada pucuk kepimpinan parti untuk melaksanakan kajian dan membuat keputusan terbaik," katanya.

PENYATUAN PARTI-PARTI MELAYU

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan keputusan Pas menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka adalah merupakan perkara terbaik demi penyatuan parti-parti Melayu.

Shahidan Kassim

Jelas beliau lagi, keputusan Pas itu bermakna BN dan PN bakal bersama dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri itu.

"Bagaimanapun, semua parti kena berunding (pembahagian kerusi pilihan raya) dengan berjiwa besar.

"Bagi BN, kita kena mempertahankan 13 kerusi DUN yan disandang dan bersedia menawan semula Melaka dengan tambahan sama ada 3, 4 atau 5 DUN," katanya melalui hantaran dalam Facebook.

Klik di sini untuk terus membaca