SHAH ALAM - Keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka adalah logik, konsisten dan tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama dengan UMNO melalui semangat Muafakat Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka adalah logik, konsisten dan tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama dengan UMNO melalui semangat Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau memahami keputusan Pas itu dibuat memandangkan pucuk kepimpinan parti itu sudah menyatakan komitmen untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN di peringkat kerajaan pusat.

Jelas beliau, Pas akan dilihat tidak konsisten sekiranya parti itu memilih menggunakan lambang sendiri pada saat mereka merupakan sebahagian daripada parti komponen PN.

"Saya amat memahami walaupun Pas pilih lambang PN, parti itu bukan 'take side'.

"Kalau Pas memilih menggunakan lambang parti itu sendiri, pengundi Melaka masih akan menganggap parti itu bertembung dengan UMNO meskipun wujud persefahaman politik di antara dua parti berkenaan.

"Hakikatnya, isu penggunaan lambang pilihan raya sangat penting dan sekiranya Pas menggunakan lambang PN, parti itu tidak dilihat cuba menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pandangan umum," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas setelah keputusan Pas menamatkan teka-teki penggunaan lambang pilihan raya apabila meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka pada 20 November hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat pada Isnin di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketetapan itu mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada 31 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan situasi kerjasama UMNO dengan Pas melalui semangat MN adalah berbeza dengan keputusan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PN berdasarkan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Isu penggunaan lambang pilihan raya mencetuskan polemik dalam kalangan Perikatan Nasional (PN), Pas dan UMNO ketika ini.

Namun begitu, beliau berpandangan strategi kerjasama UMNO dan BN bagi menghadapi PRN Melaka perlu berbeza dengan strategi politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Oleh kerana peristiwa PRN Melaka adalah satu situasi di luar jangka, UMNO perlu membezakan pendirian parti terhadap Pas dan PN sewaktu pilihan raya negeri itu berlaku dengan ketetapan bagi menghadapi PRU15.

"Kita kena ingat di peringkat Pusat, UMNO dan BN mempunyai hubungan dengan Bersatu dalam kerajaan Keluarga Malaysia, begitu juga hubungan Pas.

"Jadi, mahu atau tidak mahu, persefahaman secara tidak rasmi antara parti-parti dalam kerajaan bagi menghadapi PRN Melaka masih perlu wujud, begitu juga status kerjasama MN.

"Cuma sejauh mana hubungan dengan PN dan MN akan berkekalan, perkara itu hanya akan terjawab pada PRU15 kelak," katanya.

Mengenai kekeliruan yang timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi mandat oleh UMNO untuk berunding dengan parti-parti dalam kerajaan bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru meskipun ketetapan PAU menolak kerjasama Bersatu, Mohamed Nazri sebaliknya beranggapan keputusan MKT UMNO itu adalah terbaik.

Secara tersirat, bekas Setiausaha Agung BN itu berpendapat UMNO membuktikan parti itu berjiwa besar apabila tidak menutup sepenuhnya pintu rundingan dengan Bersatu demi penyatuan parti-parti Melayu.

"Namun akhirnya kalau Bersatu dan Pas masih tidak mahu menerima tawaran empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu daripada UMNO, UMNO dan BN terpaksa bergerak secara solo pada PRN Melaka.

"Mereka kena sedar, tawaran UMNO itu logik bersandarkan asas kekuatan parti masing-masing dan bukan atas keangkuhan kami. Pada PRU14, Bersatu hanya menang dua kerusi, Pas tidak menang apa-apa, cukuplah empat kerusi DUN majoriti pengundi Melayu," katanya.

BINCANG TUJUH KERUSI

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha turut membayangkan jumlah rundingan kerusi yang akan dibincangkan antara BN dengan parti-parti kerajaan lain hanya membabitkan tujuh kerusi DUN majoriti pengundi Melayu sahaja.

Tambahnya, dengan UMNO perlu mengekalkan 14 kerusi DUN yang dimiliki sebelum DUN Melaka terbubar pada 4 Oktober lalu, tujuh kerusi kerusi DUN majoriti Melayu yang akan dibincangkan itu adalah milik Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Keputusan Pas bersetuju menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka dianggap logik kerana parti itu sudah menjadi sebahagian parti komponen PN.

"Dengan kerusi UMNO perlu dikekalkan 14 DUN, Bersatu kekal dua kerusi DUN dimenangi tempoh hari, jadi urusan perundingan hanya membabitkan tujuh kerusi DUN daripada keseluruhan 23 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu sahaja.

"Tujuh kerusi ini pun ketika ini dimiliki PH, jadi tiada isu UMNO bakal rugi dalam aspek perundingan bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru.

"Perbincangan masih diteruskan dan kita berharap semua pihak berjiwa besar untuk memastikan ia mencapai objektif paling utama, menafikan kemenangan PH pada PRN Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca