SHAH ALAM - Keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya tertakluk kepada keperluan semasa parti semata-mata dan bukan bayangan pendirian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya tertakluk kepada keperluan semasa parti semata-mata dan bukan bayangan pendirian Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, penggunaan lambang PN belum tentu akan digunakan pada PRU15 memandangkan perkara itu akan dibincangkan semula Pas mengikut situasi politik dan keperluan parti pada masa itu.

Kamaruzaman

Jelas beliau, isu penggunaan lambang PN bukan satu isu yang perlu diperdebatkan kerana Pas merupakan sebahagian daripada parti komponen rasmi PN.

"Isu ini jelas...Pas adalah sebahagian daripada komponen PN, ini bermakna parti mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan lambang parti itu sendiri atau PN.

"Lagipun yang Jawatankuasa Pas Pusat bincang keputusan semalam (Isnin malam) adalah keputusan penggunaan lambang pilihan raya bagi menghadapi PRN Melaka sahaja.

"Bagi PRU15, perkara berkenaan lambang pilihan raya akan dibincangkan semula mengikut keadaan politik dan keperluan parti pada ketika itu," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas keputusan Pas menamatkan teka-teki penggunaan lambang pilihan raya apabila meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka pada 20 November hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat pada Isnin di Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketetapan itu mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada 31 Oktober lalu.

Sebelum itu, Majlis Syura Ulamak Pas menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk membuat keputusan berkaitan penggunaan lambang dalam PRN Melaka.

Menurut satu kenyataan, keputusan yang akan dibuat perlu berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik selaras dengan peruntukan perlembagaan Pas.

Majlis Syura Ulamak turut mengharapkan keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dibuat dari sudut Siyaasah Syar'iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Berikutan keputusan Pas, ramai berpendapat keputusan itu memberi tamparan hebat kepada UMNO yang masih mengharapkan parti Islam itu akan menghormati permuafakatan Muafakat Nasional (MN) yang terjalin.

Hal ini susulan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Khamis lalu memutuskan sebarang kerjasama dengan Pas pada PRN Melaka adalah berasaskan syarat parti masing-masing perlu menggunakan lambang parti sendiri.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman menegaskan keputusan Pas bukanlah penamat hubungan antara parti itu dan UMNO dengan Pas masih komited mempertahankan prinsip MN.

Jelas beliau, persetujuan parti menggunakan lambang PN juga adalah bersandarkan strategi politik parti itu yang mengambil kira pelbagai faktor.

"Namun, Pas masih lagi menganggap permuafakatan MN adalah wadah penting untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat.

"Pas juga memberi jaminan usaha perundingan dengan UMNO masih lagi berjalan seperti biasa dengan objektif utama adalah untuk memastikan PH tidak lagi kembali mentadbir kerajaan Melaka selepas PRN Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca