ISTILAH kod merah bumi dipopularkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres ketika memberikan pandangannya tentang kesan buruk akibat tindakan manusia berikutan masalah perubahan cuaca yang sedang... Klik di sini untuk terus membaca

ISTILAH kod merah bumi dipopularkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres ketika memberikan pandangannya tentang kesan buruk akibat tindakan manusia berikutan masalah perubahan cuaca yang sedang berlaku kini.

Guterres mengulangi semula amarannya tu beberapa hari sebelum Persidangan Perubahan Iklim PBB atau lebih dikenali sebagai COP26 yang sedang berlangsung di Glasgow, Scotland.

Ketika itu, beliau tanpa berselindung lagi berkata: "Kita sedang menggali kubur kita sendiri."

Beliau juga menegaskan bahawa hampir empat bilion daripada lebih tujuh bilion penduduk dunia telah mengalami penderitaan akibat bencana berkaitan iklim.

Amaran itu dikeluarkan selepas suhu di bumi semakin meningkat, masalah banjir, kemarau, kesan rumah hijau, pelepasan gas karbon dioksida, peningkatan paras air laut, kecairan glasier, perubahan cuaca ekstrem dan pembasmian hutan berlaku di bumi.

Bahayanya dunia ekoran masalah pemanasan global turut didedahkan semasa satu laporan dibuat oleh Program Alam Sekitar PBB pada Ogos lalu yang memberi amaran bahawa rancangan daripada 120 buah negara untuk mengurangkan kesan rumah hijau masih tidak mencukupi bagi mengatasi masalah krisis perubahan cuaca dunia.

Laporan PBB itu dibuat oleh lebih 200 saintis dari 66 buah negara menumpukan kepada pengaruh manusia yang menyebabkan pemanasan global sejak lebih 2,000 tahun lalu.

Apakah pentingnya laporan tersebut dan peningkatan suhu dunia?

SUHU MENINGKAT

Purata suhu global dipercayai akan meningkat atau melepasi 1.5 darjah Celsius dalam tempoh 20 tahun menyebabkan perlunya satu tindakan besar-besaran dilakukan bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Jika suhu dunia meningkat kepada lebih 1.5 darjah Celsius, ia akan menyebabkan dunia mengalami perubahan cuaca yang lebih ekstrem.

Pelepasan gas karbon dioksida di udara menyumbang kepada kod merah iklim dunia. - Foto AFP

Sebagai contoh, Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia, Petteri Taalas berkata, kenaikan suhu tersebut akan menyebabkan ais akan mencair di Artik.

Namun, peningkatan suhu global kepada lebih 1.5 darjah Celsius itu akan mengakibatkan perubahan arus Teluk selain menyebabkan 'bencana' terhadap kehidupan biodiversiti, pertanian terjejas dan pulau-pulau kecil pula bakal tenggelam.

Semua maklumat itu juga didedahkan sebelum COP26 berlangsung melibatkan 120 pemimpin termasuk Presiden dan Perdana Menteri serta pelbagai pihak yang mempunyai kaitan dengan perubahan cuaca dari 31 Oktober hingga 12 November ini.

Bagaimanapun adakah kod merah itu dianggap sebagai 'remeh' oleh pemimpin-pemimpin dunia setelah amaran dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PBB ataupun pertemuan COP26 dianggap hanya sebagai retorik politik semata-mata?

Terdapat juga saintis yang menolak idea tentang bencana iklim akan berlaku dan menyatakkan ' kod merah' itu sebagai satu peringatan palsu dan ada juga yang melabelkan krisis tersebut hanya merupakan satu imiginasi semata-mata.

Terdapat juga sebahagian pihak yang menyatakan bahawa persidangan COP26 di Scotland itu sebagai satu pertemuan yang sia-sia.

Walau apa pun, negara-negara maju perlu mengetuai langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida terlebih dahulu kerana ia memasuki dunia Revolusi Industri sejak tahun 1760 lagi.

Sejak itu, industri-industri di negara-negara Barat mengaut banyak keuntungan wang ringgit hasil pelepasan karbon dioksida ke atmosfera bumi dan ia perlu bertanggungjawab terhadap kenaikan suhu bumi.

Misi mengehadkan kenaikan suhu bumi itu sebenarnya sudah lama ditetapkan menerusi Perjanjian Paris pada tahun 2015 yang meminta negara-negara di dunia supaya mengurangkan kenaikan suhu masing nasing di bawah 2 darjah Celsius.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia pernah berkata bahawa, berdasarkan kadar pelepasan gas rumah hijau, kadar kenaikan suhu pada akhir abad ini akan meningkat melebihi daripada yang ditetapkan oleh Perjanjian Paris.

Justeru, jika ia benar-benar berlaku, Persidangan COP26 bolelah dianggap sebagai satu pertemuan yang sia-sia sahaja. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca