TAHUN 1983. Pada masa itu saya dalam Darjah Lima. Darjah yang penting bagi semua murid kerana masing-masing perlu menduduki Ujian Penilaian Darjah Lima. Ia merupakan ujian besar pertama sebelum disusuli oleh peperiksaan Sijil Rendah... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 1983. Pada masa itu saya dalam Darjah Lima.

Darjah yang penting bagi semua murid kerana masing-masing perlu menduduki Ujian Penilaian Darjah Lima.

Ia merupakan ujian besar pertama sebelum disusuli oleh peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di peringkat sekolah menengah.

Untuk rekod, Ujian Penilaian Darjah Lima kini telah tiada. Bermula pada 1988, ia diganti dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tetapi yang saya hendak ceritakan kali ini bukanlah tentang Ujian Penilaian Darjah Lima itu.

Saya faham, dalam keadaan kita tidak habis-habis berdepan pelbagai ujian sejak pandemik melanda, tidak ramai berminat hendak mengambil tahu tentang apa juga bentuk ujian.

"Dengar sini murid-murid. Selepas habis ujian penilaian nanti, sekolah akan anjurkan rombongan melawat ke Kuala Lumpur...”

Itu yang saya hendak ceritakan. Masih terngiang-ngiang di ingatan saya kata-kata guru kelas kami pada pagi bersejarah itu.

Kata-kata yang disambut dengan gembira oleh rakan-rakan sekelas.

Ada yang terlalu teruja sehingga selama dua tiga minggu selepas itu, asyik bercerita tentang rombongan ke Kuala Lumpur sahaja.

Saya pun teruja juga. Tetapi seboleh mungkin saya cuba sembunyikan keterujaan itu.

Yang menyebabkan saya tidak sabar menanti tarikh lawatan itu bukanlah peluang melawat Kuala Lumpur kerana sebelum itu saya telah beberapa kali dibawa oleh keluarga berkunjung ke ibu kota tersebut.

Saya ada sebab lain.

Sebab yang ada kaitan dengan hati dan perasaan!

Akhirnya saat dinanti-nantikan pun tiba. Sebelah malamnya saya tidak lelap tidur.

Bukan malam itu sahaja, malah dua tiga malam sebelumnya.

Asal pejam mata sahaja mulalah terbayang-bayang tentang rombongan itu.

Dalam seronok terasa gusar.

Pagi itu sebelum jam 7 pagi kami sudah berkumpul di sekolah.

Dalam perjalanan ke sekolah, gusar dan debar saya silih berganti.

Bagaimanapun, perasaan itu berkubur dengan sendirinya apabila mendapati dia sudah berada di pekarangan sekolah bersama kawan-kawan lain.

"Saya cukup risau takut awak tak jadi pergi,” kata saya kepadanya.

Dia cuma melirikkan senyum. Semanis selalu.

Bas tiba dan kami berbaris menaikinya. Biasalah, depan guru tentulah masing-masing menjaga budi bahasa dan adab susila.

Cuba tidak ada guru, mungkin ada yang memanjat masuk melalui tingkap.

Sejak saat guru kelas memberitahu rancangan hendak melawat Kuala Lumpur itu, saya sebenarnya telah mula memasang angan-angan hendak duduk di sebelah si dia ketika di dalam bas nanti.

Tetapi apabila berada di dalam bas, saya jadi kekok dan silu. Takut ada, segan pun ada.

Budak baik memang begitu. Jadi saya sekadar terkebil-kebil apabila melihat seorang murid perempuan lain duduk di sebelahnya dan saya pula terpaksa duduk di sebelah rakan lain di bangku belakang.

PERJALANAN

Bas bergerak. Pada masa itu perjalanan dari Sungai Besar ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Kalau naik kapal terbang dan ditambah lagi 45 minit sudah boleh sampai Chennai.

Sekarang perjalanan Sungai Besar-Kuala Lumpur hanya mengambil masa satu jam setengah.

Ini kerana sistem jalan raya yang lebih baik.

Dahulu tidak ada lebuh raya, jalan persekutuan yang ada pula di kebanyakan tempat masih satu lorong.

Tetapi perjalanan yang lama itu tidak membosankan.

Keadaan di dalam bas diselubungi keceriaan.

Kami menyanyi dan bertepuk beramai-ramai.

Sesekali bunyi kawan muntah menukar bau bas.

Budak kampung naik bas rombongan pun mabuk.

Malah, ada yang telah muntah hijau sebelum bas sampai ke Kuala Selangor.

Patutlah cikgu bekalkan beg plastik sebelum naik bas.

Kebanyakan ahli rombongan membawa bekalan dari rumah.

Maklumlah ramai tidak sempat bersarapan.

Jadi, apabila masing-masing bersarapan di dalam bas, suasana lebih meriah sebab boleh saling merasa bekalan kawan-kawan.

Lebih seronok apabila yang menghulurkan makanan untuk dirasa itu adalah seseorang yang istimewa bagi kita, contohnya si dia yang saya maksudkan di atas.

Walaupun bihun yang dihulurkannya terasa macam dawai, namun bagi saya, itulah bihun paling sedap di dunia ketika itu.

Apabila bas memasuki Kuala Lumpur, suasana di dalam bas menjadi berbeza.

Masing-masing memberi tumpuan pada apa yang dapat dilihat di luar.

Bangunan tinggi, jalan raya yang sibuk dan kenderaan beraneka jenis.

Bagaimanapun, saya tidak mempedulikan sangat semua itu.

Tumpuan saya lebih kepada si dia. Ketika dia dan yang lain-lain memandang ke luar, saya sibuk memandang ke arahnya.

Tetapi apabila dia pandang ke arah saya, cepat-cepat saya pandang ke luar pula. Budak baik memang begitu. Dalam mahu, ada malu.

Pada era itu, Batu Caves, Muzium Negara, Tugu Kebangsaan, Zoo Negara dan Masjid Negara sering menjadi menu wajib dilawati bagi rombongan dari luar Kuala Lumpur.

Perjalanan tiga jam dimulakan dengan memanjat tangga Batu Caves. Apabila naik kembali ke bas, bermacam bau peluh bercampur-baur.

Dalam rombongan kami, yang ada kamera hanya seorang guru sahaja. Maklumlah masa itu kamera benda eksklusif.

Bagi budak kampung macam kami, dapat beli kamera mainan pun sudah cukup hebat.

Sudah terasa bangga sehingga hidung boleh kembang sampai ke telinga.

Selepas selesai melawat sesuatu tempat, kami akan mengambil posisi untuk sesi bergambar.

Dan setiap kali sesi itu, saya akan pastikan sama ada saya berdiri di sebelah atau di belakang si dia.

Tempat paling lama kami lawati ialah Zoo Negara. Yang paling singkat pula rasanya Tugu Kebangsaan.

Maklumlah di situ tidak ada apa sangat yang boleh difahami, selain patung-patung besar yang menjadi simbol perjuangan wira-wira negara.

Bagi saya, antara semua tempat dikunjungi itu, Muzium Negaralah yang amat meninggalkan kesan di hati, sebab di situlah saya belikan lolipop untuk si dia.

Pemberian kecil tetapi besar maknanya.

Sebagai balasan, dia memberikan sebiji gula-gula kepada saya.

Seminggu lebih saya simpan gula-gula itu sebagai kenangan – sehinggalah akhirnya dihurung semut.

Oleh sebab dalam rombongan kami tidak ada ‘Mak Cik Kiah, Mbah Minah atau Bik Semah’, maka kami tidaklah singgah di Chow Kit atau ke pasar raya Kamdar untuk membeli-belah.

Lewat senja kami bertolak balik. Nak singgah di Bukit Malawati pun sudah gelap.

Dalam perjalanan pulang, keadaan di dalam bas senyap sunyi. Masing-masing terlentok keletihan.

Hanya sekali sekala terdengar bunyi orang muntah. Mabuk bas lagi.

Kira-kira jam 11 malam, bas sampai ke destinasi. Ibu bapa sudah siap sedia menanti. Ada menunggu di tepi jalan, ada juga tersengguk-sengguk di depan sekolah.

Sebaik turun daripada bas, bermakna berakhirlah satu perjalanan yang cukup besar ertinya bagi budak-budak kampung macam kami.

Perjalanan yang mungkin tidak memberi apa-apa makna kepada budak-budak sekarang.

Jika diajak mengikuti rombongan, mungkin begini jawab mereka: "Rombongan? Ke KL? Tiap-tiap minggu kita pergilah.” #dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca