SHAH ALAM - Seperti yang diramalkan selepas 24 jam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat Sarawak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seperti yang diramalkan selepas 24 jam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat Sarawak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya negeri itu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pemakluman rasmi itu diterima daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, selepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada 3 November sebagaimana termaktub bawah Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatal atau diungkaikan.

"Bawah Seksyen 3(4) ordinan sama, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatal atau diungkaikan.

"Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya itu. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut keadaan biasa, DUN Sarawak sebenarnya perlu dibubarkan pada 6 Jun lalu selepas tamat tempoh sepenggal atau lima tahun pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Bagaimanapun, disebabkan oleh faktor pandemik Covid-19, Seri Paduka Baginda telah mengisytiharkan proklamasi darurat, sekali gus menangguhkan pembubaran DUN Sarawak sehingga ke satu tarikh lain.

Rakyat Sarawak kali terakhir membuang undi untuk memilih kerajaan negeri ialah pada 7 Mei 2016. DUN Sarawak yang merupakan antara DUN terbesar di Malaysia mempunyai 82 kerusi.

Pada PRN 2016, parti utama Sarawak iaitu Pesaka Bumiputera Bersatu masih berada di bawah Barisan Nasional (BN) mengungguli PRN tersebut bersama parti komponen lain apabila menang 72 kerusi DUN. Pakatan Harapan berjaya 'mencuri' 10 kerusi pada PRN itu dengan kebanyakannya menerusi calon DAP di kawasan bandar.

Selepas tahun 2018, perpecahan komponen BN menyaksikan PBB dan beberapa parti negeri mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sekiranya mengikut Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatal atau diungkaikan, maka PRN Bumi Kenyalang perlu diadakan sebelum atau pada 1 Januari 2022.

Klik di sini untuk terus membaca