SHAH ALAM - Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal menyandang jawatan Presiden Pas apabila disahkan menang tanpa bertanding pada pemilihan Muktamar Pas ke-67 sesi 2021-2023, kata Datuk Takiyuddin Hassan. Setiausaha Agung Pas itu berkata, turut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal menyandang jawatan Presiden Pas apabila disahkan menang tanpa bertanding pada pemilihan Muktamar Pas ke-67 sesi 2021-2023, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, turut mengekalkan jawatan ialah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan tiada siapa yang bertanding mencabar kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden parti.

"Turut sama mengekalkan jawatan ialah Hussin Ismail sebagai Pengerusi Tetap dan Kamal Ashaari sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.

"Kedua-dua mereka juga menang tanpa bertanding," katanya pada sidang media Muktamar Pas ke-67 di Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis.

Abdul Hadi mula menyandang jawatan Presiden Pas sejak 2005 manakala Tuan Ibrahim pula menyandang jawatan Timbalan Presiden sejak 2018.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, seramai empat calon akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden parti itu bagi sesi berkenaan.

Mereka ialah Menteri di Jabatan perdana Menteri (hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Datuk mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, tambahnya.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini dicalonkan bagi jawatan ini telah menarik diri,” katanya.

Muktamar Pas ke-67 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Terengganu akan menyaksikan pemilihan 18 orang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat daripada 36 calon yang bertanding.

Pada kali ini, muktamar akan dijalankan secara hibrid yang mana seramai 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

Klik di sini untuk terus membaca