SHAH ALAM - Pelbagai pihak menyokong usaha kerajaan untuk meminda segera Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah supaya perbuatan menghendap dan mengintai dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah.
Pegawai Advokasi Kanan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Rusni Tajari berkata, perbuatan yang sering berlaku terhadap wanita itu akan mengganggu emosi sekali gus menjejaskan kehidupan mereka untuk jangka masa panjang.
Beliau berkata, walaupun mangsa berulang kali dihubungi atau diekori, pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa untuk melindungi mangsa kerana perbuatan mengintip atau menghendap belum dianggap sebagai satu jenayah di Malaysia.
"Jika perbuatan ini dapat dijadikan sebagai jenayah, mereka yang melakukannya boleh dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu bahawa kerajaan akan memberikan komitmen agar perbuatan menghendap dijadikan satu jenayah di Malaysia.
Menurut Mas Ermieyati, kertas dasar berserta cadangan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan kepada jemaah menteri pada Disember ini dan pindaan tersebut dibentangkan pula di Parlimen setelah mendapat persetujuan kabinet.
Tambah beliau, sejak awal tahun 2020, draf pindaan RUU berkenaan sudah pun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM dengan pembabitan agensi-agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Rusni memberitahu, kajian oleh WAO dan Vase.ai pada tahun lalu mendapati lebih satu perempat atau 26 peratus rakyat negara ini pernah dihendap yang mengakibatkan mereka ketakutan.
"Kalau ikutkan berdasarkan gender, sebanyak 39 peratus adalah wanita, manakala 32 peratus adalah lelaki,” katanya.
Ujar Rusni, banyak negara lain telah pun mengklasifikasikan perbuatan hendap atau intip sebagai perbuatan jenayah, antaranya Filipina, Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan Kanada.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar pula berpendapat jenayah hendap sangat bahaya dan hukumannya perlulah setimpal.
Malah, kata beliau, hukuman bagi kesalahan menghendap di luar negara juga sangat berat sehingga boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun.
"Di United Kingdom (UK), hukuman maksimum terhadap kesalahan menghendap ialah penjara enam bulan. Jika kesalahan gangguan atau menghendap bersifat perkauman atau agama, hukuman maksimum ialah dua tahun penjara.
"Jika kesalahan itu membuatkan orang ramai ketakutan dan bersifat keganasan, hukuman maksimum ialah penjara 10 tahun,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata, perbuatan menghendap wajar diklasifikasikan sebagai jenayah bahaya kerana ia boleh membawa kepada insiden bunuh.
"Menghendap juga sering menjadi faktor utama pembunuhan seorang wanita oleh pasangan mereka.
"Menurut kajian di Kanada dan Amerika Syarikat, sebanyak 90 peratus daripada mangsa pembunuhan atau cubaan membunuh dalam kes keganasan rumah tangga sebelum ini menjadi mangsa hendap oleh pasangan,” katanya yang berharap perbuatan menghendap di laman sosial turut dijadikan sebagai satu jenayah.
JIRAN OBSES MENGHENDAP JANDA
Seorang ibu tunggal hampir kehilangan nyawa apabila menjadi mangsa menghendap seorang lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya.
Peristiwa hitam itu berlaku kepada mangsa, Zubaidah (bukan nama sebenar) kira-kira empat tahun lalu apabila penghendap bertindak agresif membawa sebilah pisau pemotong ayam.
Menurut Zubaidah, 47, lelaki berkenaan berbuat demikian kerana cubaan untuk memikat dirinya menemui jalan buntu.
Ibu kepada lima anak ini berkata, dia menjadi mangsa menghendap selepas tiga bulan kematian suami.
Penghendap itu tinggal selang beberapa buah rumah dari rumahnya.
Cerita Zubaidah, setiap kali mahu menggunakan bilik air, dia pasti terdengar bunyi pergerakan dan tapak kaki manusia.
"Sehinggalah satu hari sekitar jam 3 pagi, dia datang ke rumah membawa sebilah pisau pemotong ayam dalam keadaan marah-marah.
"Dia masuk ke dalam rumah dan mendakwa saya bawa lelaki pulang sedangkan lelaki itu anak saya,” katanya menambah, disebabkan sikap obses itu, berlaku pertengkaran yang hampir meragut nyawanya.
Klik di sini untuk terus membaca