FINAS sudah berusaha 40 tahun; dengan ia ditubuh pada bulan Julai 1981 di bawah Akta Finas 1981 atau Akta 244 yang dilulus Parlimen. Ketika itu saya baru sahaja belajar dalam bidang perfileman di peringkat Sarjana Kesenian Halus dengan... Klik di sini untuk terus membaca

FINAS sudah berusaha 40 tahun; dengan ia ditubuh pada bulan Julai 1981 di bawah Akta Finas 1981 atau Akta 244 yang dilulus Parlimen.

Ketika itu saya baru sahaja belajar dalam bidang perfileman di peringkat Sarjana Kesenian Halus dengan pengkhususan Pengarahan Filem atau Master of Fine Art in Film Directing di Columbia University di bandar raya New York.

Bila tiba di sana, saya mendapati ia merupakan sebuah universiti terulung di Amerika Syarikat (AS) dan di dunia; oleh sebab itu ramai orang tempatan yang ditemui rasa kekok mahu bercakap dengan saya sebab saya pelajar universiti yang dikenali sebagai Ivy League – yang termasuk tujuh universiti lain seperti Harvard, Princeton, Cornell, Yale, Brown, Dartmouth dan Upenn.

Sehingga kini, saya merupakan seorang sahaja orang Melayu dan juga rakyat Malaysia yang berpeluang belajar dalam bidang di peringkat sarjana di universiti ini. Saya juga mencipta sejarah akademik Malaysia dan Institut Teknologi Mara (ITM) kini Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana mendapat tempat semasa masih belajar dan belum tamat pengajian.

Semasa di Columbia, saya mendengar berita tentang hasrat kerajaan untuk menggubal Akta Finas; jadi saya mengutus sepucuk surat kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk memaklumkan yang saya sedang belajar dalam bidang perfileman di universiti ulung ini, untuk beliau fikir sama ada saya boleh dipertimbangkan sebagai pakar runding untuk saya membuat penyelidikan dalam bidang filem di Hollywood dan menghasilkan sebuah akta yang berguna.

Namun Dr Mahathir jawab surat dengan hanya berkata bahawa, "Ya, kerajaan sedang mengubal Akta Finas”. Tanpa peduli kehadiran dan kedudukan saya dalam bidang akademik ketika itu.

Dan Akta Finas atau Akta 244 telah dilulus oleh Parlimen pada Januari, 1981 dengan Finas ditubuhkan enam bulan kemudian di sebuah banglo zaman penjajah di Jalan U Thant sebelum berpindah ke sebuah banglo lain di Jalan Ampang dan selepas itu di Studio Merdeka apabila kerajaan membelinya dengan harga RM1.5 juta.

APA YANG BOLEH DIPELAJARI DARI HOLLYWOOD

Saya sudah baca dan kaji Akta Finas 1981 itu dan saya mendapati ia amat lemah; ia langsung tidak ada perspektif sejarah perusahaan filem Melayu lama berpusat di Kuala Lumpur dan Hollywood, yang sebenarnya bermula di Bandaraya New York sebelum ia berpindah ke Hollywood sekarang.

Malangnya juga, mereka yang ditugas untuk menggubal Akta itu langsung tidak berusaha untuk mendapatkan pendapat dan penyelidikan yang boleh dilakukan oleh saya semasa di AS.

Mungkin kita sudah boleh mempunyai sebuah perusahaan baharu Malaysia dengan menghasilkan bahan filem dalam pelbagai jenis termasuk dokumentari dan siri drama televisyen bukan sahaja untuk siaran di pawagam dan stesen televisyen tempatan, tetapi di luar negara.

Malah, Finas sekarang sudah pun boleh mempunyai sebuah pejabat di Hollywood untuk menggalak mereka yang belajar bidang filem di AS dan England untuk menerbit filem di sini dalam bahasa Inggeris serta tentang sejarah Melayu dan Malaysia. Ia berkemungkinan mendapat pasaran dan penonton antrabangsa.

Ada banyak yang kita boleh pelajari dari sejarah perusahaan filem Melayu lama di Singapura yang ditubuhkan tanpa adanya sebarang Akta, oleh empat orang saudagar hiburan, dua daripada mereka yang berasal dari Shanghai, China dan dua lagi di Kuala Lumpur dengan keempat-empatnya adalah saudagar keturunan Cina.

Kita juga boleh belajar daripada pengalaman Hollywood yang juga ditubuh atau diasaskan oleh empat orang penerbit sahaja yang menerbit filem-filem untuk pasaran tempatan di AS, sehingga ia kemudian dapat dipasarkan ke seluruh dunia sehinggakan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris turut gilakannya!

Malangnya, dengan ketiadaan sebarang falsafah termaktub dalam Akta Finas, apa yang berlaku ialah filem-filem yang diterbitkan oleh penerbit tempatan secara sendiri dan oleh mereka yang mendapat dana daripada Finas, tidak membantu untuk mewujudkan sebuah perusahaan filem baharu Malaysia dan jauh sekali sebuah sinema baharu Malaysia.

Jauh malang lagi Akta Finas 1981 itu langsung tidak menggabungkan bidang-bidang kesenian lain seperti sastera, teater, muzik dan lain-lain untuk sama-sama dibangunkan.

*Mansor Puteh ialah seorang pengarah dan pengkritik filem

Klik di sini untuk terus membaca